Sabtu, 19 Mei 2012

Adam rayu bantuan RM300,000 rawat tumor


AYER KEROH - Adam Akbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor di saraf tunjang merayu bantuan orang ramai menderma RM300,000 untuk menjalani pembedahan segera.

Penyakit yang menyerang 10 dalam sejuta itu, boleh menyebabkan lumpuh secara perlahan sekiranya ketumbuhan itu tidak dibuang.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, penyakit itu mula dikesan selepas Adam sering mengadu sakit kaki dan lemah badan.

“Akhirnya kami mengetahui dia menghidapi ketumbuhan­ ini pada tahap dua selepas doktor di Hospital Selayang melakukan kajian.

“Tumor ini mengganggu saraf kaki, tangan dan pernafasan, membuatkan Adam sering sakit kepala dan kaki, malah akan jatuh kerana kaki tidak kuat sekiranya kepenatan,” katanya kepada Sinar Harian di Seri Bendahara, semalam.

Menurutnya, walaupun telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di Hospital Queen Elizabeth, Singapura pada Julai 2010, namun hanya sebahagian tumor dibuang.

Katanya, enam bulan kemudian, penyakit Adam kembali menyerang dan dia terpaksa menjalani pembedahan sama pada November 2011 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Selepas mendapat khidmat beberapa doktor pakar di Malaysia, Akbar Ali berhasrat untuk mengubati penyakit anaknya melalui Pakar Neuro, Dr George Jallo di Hospital
Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat.

Namun, Akbar Ali berkata, dia tidak mampu menyediakan kos RM300,000 itu.

Justeru, Adam yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, amat berharap bantuan daripada orang ramai.

Setakat ini hanya RM25,000 terkumpul dan orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh melakukannya menerusi akaun Maybank 512101054830 atau Bank Islam 12038025182964.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Belia Pemikir Muda (Pemikir), Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pihaknya turut menyediakan tabung membantu Adam mengumpul dana dan Kerajaan Negeri Melaka menyumbang sebanyak RM10,000.

- SINAR HARIAN



0 komentar: