Minggu, 20 Mei 2012

Chelsea Juara Piala Liga Juara-Juara 2012


MUNICH - Pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo berjaya membuktikan kredibiliti beliau selaku pengendali yang hebat sebaik membantu pasukan itu menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Awal pagi semalam, The Blues berjaya menamatkan kemarau trofi Liga Juara-Juara apabila menewaskan Bayern Munich 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Allianz Arena.

Sebelum ini, nasib malang The Blues yang dilihat agak hambar pada permulaan musim ini di bawah kendalian Andre Villas- Boas, ternyata berubah sebaik menerima sentuhan Di Matteo, 41, pertengahan Mac lepas.

Namun, tidak mustahil aksi final semalam merupakan perlawanan terakhir Di Matteo sebagai pengendali sementara The Blues memandangkan pemilik kelab, Roman Abramovich dilaporkan begitu ghairah mahu mendapatkan pengurus baharu yang lebih terkenal musim depan.

"Kadang-kadang bola sepak boleh membuatkan anda menjadi gila. Tidak ada sesiapa yang menyangka kami mampu muncul juara musim ini.

"Bagi saya, ia penamat yang cukup sempurna," kata Di Matteo.

Menurut beliau: "Kami hanya melakukan yang terbaik untuk menang.

"Kami berjaya melakukannya meskipun tanpa empat pemain utama, sebabnya memang kami layak muncul juara."

Pada masa sama, Di Matteo juga enggan mengulas mengenai masa depannya di Stamford Bridge meskipun mendapat sokongan majoriti pemain terutama kapten, John Terry yang mahu- kan beliau kekal sebagai pengurus.

"Ia tidak penting sama ada saya kekal ataupun tidak.

"Sejujurnya, saya gembira dengan peranan yang diberikan dan menerima apa jua keputusan mengenai nasib saya selepas ini," katanya.

Rakan sejawatannya di Bayern, Jupp Heynckes juga memuji kredibiliti yang dimiliki Di Matteo.

"Jika saya Abramovich, saya akan menawarkan kontrak selama tiga tahun lagi buat Di Matteo," katanya.

- Reuters



0 komentar: