Sabtu, 19 Mei 2012

Hari Guru istimewa buat cikgu Nani


WALAUPUN baru empat tahun bergelar pendidik, anak kelahiran Alor Star, Kedah, ini amat menyukai kerjaya yang disandangnya hari ini.

Tidak pernah menyesal mengambil keputusan untuk mendidik anak-anak bangsa, bagi ibu kepada dua cahaya mata ini kerjaya sebagai seorang guru mempunyai kelebihan dan cabaran tersendiri.

Dia berpendapat selain dapat memberikan pelajaran dan pendidikan kepada anak bangsa secara tidak langsung dapat berbakti kepada negara.

Menyingkap penglibatannya dalam profesion perguruan ini, jelas pemilik nama Nur Hanani Ismail, dia sememangnya suka kepada kanak-kanak dan menyimpan cita-cita untuk bergelar cikgu sejak di bangku sekolah lagi.

Dalam masa yang sama, kedua ibu bapanya juga merupakan guru, maka tidak hairanlah sekiranya Nur Hanani atau lebih mesra disapa Nani meminati bidang perguruan.

Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tetapi ujar Nani, terdapat perbezaan antara guru hari ini jika hendak dibandingkan dengan zaman sebelumnya.

Ini kerana menurutnya, guru hari ini bukan sahaja perlu mengajar malah mereka juga perlu menghadapi kerenah masyarakat dan disiplin para pelajar.

"Jika dilihat apa yang mak Nani alami dahulu sebagai seorang guru memang jauh beza dengan cikgu hari ini.

"Dahulu seorang cikgu bebas untuk mengajar dan menegur kesalahan anak murid masing-masing tanpa menghadapi sebarang masalah.

"Tetapi hari ini cikgu bukan sahaja perlu mencari bahan untuk mengajar anak-anak murid yang lebih cerdik tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah ibu bapa dan disiplin anak-anak murid," ujarnya ketika ditemui Mega baru-baru ini.

Cikgu manis berusia 31 tahun ini bagaimanapun tidak pernah menjadikan masalah-masalah tersebut satu beban, malah Nani tetap meneruskan kerjayanya seperti biasa untuk membimbing anak bangsa.

Begitupun, jika disingkap perjalanan hidup wanita ini, ia agak menarik untuk dikongsi bersama.

Ini kerana sebelum terjun ke dalam dunia pendidikan, anak sulung daripada tiga beradik ini terlebih dahulu bergelar seorang wartawan hiburan di Stesen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Nani memberitahu, penglibatannya dalam dunia kewartawanan adalah secara tidak sengaja kerana permohonan pertamanya untuk memasuki maktab perguruan tidak diterima.

Sehubungan itu, dia telah ditawarkan menyambung pengajian dalam Ijazah Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Tanpa berfikir panjang dan sememangnya ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, dia telah mengikuti kursus tersebut selama dua tahun.

Jadi untuk tidak membazirkan ilmu yang dipelajari ketika di UiTM, Nani membuat keputusan untuk meneruskan kerjaya dalam bidang kewartawanan di RTM sebelum meneruskan kerjayanya di salah sebuah syarikat penerbitan terkenal.

Selepas itu, tanpa jemu membuat permohonan untuk memasuki Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Nani akhirnya telah diterima.

Tanpa berfikir lama, Nani telah menerima dan sanggup melepaskan kerjaya wartawan yang baru hendak dibinanya.

Selain itu, satu lagi sisi menarik mengenai Nani ialah, dia bukanlah calang-calang guru kerana peminat barangan Hello Kitty ini merupakan seorang cikgu pemulihan (kelas istimewa) di Sekolah Kebangsaan Alam Megah 3, Seksyen 28, Shah Alam, Selangor.

Baginya, menyandang jawatan cikgu pemulihan tanggungjawabnya lebih besar dan lebih berisiko kerana berhadapan dengan murid yang menghadapai masalah pembelajaran.

Selain corak pengajaran yang berbeza, dia juga perlu banyak bersabar apabila berhadapan dengan anak-anak muridnya.

"Menjadi cikgu pemulihan ini amat berbeza corak pengajarannya dengan cikgu-cikgu biasa yang lain. Walaupun kelas Nani hanya sekitar lima orang murid tetapi ia menuntut Nani lebih kreatif dan berinisiatif apabila mengajar.

"Berhadapan dengan murid-murid istimewa ini kita perlu pandai berkomunikasi selain mencari bahan pengajaran yang menarik untuk meraih perhatian mereka.

"Secara tidak langsung ia memerlukan Nani bekerja lebih keras dan sabar untuk memastikan mereka menjadi seorang murid yang normal (pandai membaca dan mengira)," katanya lagi.

Bagaimanapun, jelas Nani pada awalnya dia memohon untuk mengajar Bahasa Inggeris tetapi memandangkan ketika itu keperluan untuk cikgu pemulihan amat diperlukan, dia tidak menolak.

Lagipun, sepanjang mengikuti kursus KPLI, dia turut mengikuti kelas psikologi untuk berhadapan dengan murid-murid istimewa kelak.

Setinggi manapun tahap kesabaran seseorang individu itu, ia pasti tidak dapat dibendung.

Begitu juga dengan Nani, sekiranya kerenah murid mencabar tahap kesabarannya, dia mengambil pendekatan dengan keluar kelas untuk menenangkan diri sebelum masuk semula untuk mengajar selepas dirinya kembali tenang.

Nani juga tanpa berselindung, ada ketika dia menangis mengenangkan nasib anak-anak muridnya yang tidak mampu menguasai pembelajaran ketika di dalam kelas.

Yang pasti, kesemua anak muridnya akan terus kekal di kelas pemulihan selagi mereka tidak boleh membaca ataupun mengira. Sebagai seorang cikgu, Nani hanya mampu berusaha dan beriktiar agar para pelajar mampu menjadi seperti kanak-kanak normal yang lain.

Siapa sangka, daripada seorang wartawan hiburan yang lincah, Nani akhirnya bergelar seorang cikgu.

Dia yang kini ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik tidak pernah terfikir untuk berpatah balik ke kerjaya asal. Malah dia tidak menafikan, pengalamannya di dalam dunia kewartawanan banyak membantunya hari ini untuk memberikan yang terbaik ketika bertugas.

Berbicara mengenai sambutan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun, menurut Nani, sepanjang bergelar cikgu, hanya sekali dia menerima hadiah daripada anak muridnya.

Walaupun hadiah tersebut hanyalah tiga batang pen yang berwarna merah, biru dan hitam, ia tetap menggembirakan hati Nani kerana dia tidak pernah mengharapkan apa-apa 'habuan' daripada anak muridnya.

Dia tetap bersyukur kerana walaupun tanpa hadiah mereka (anak murid) tidak pernah lupa untuk memberikan ucapan "Selamat Hari Guru" kepadanya setiap tahun.

Dia yang memahami masalah setiap anak muridnya hanya berharap agar segala ilmu yang dicurahkan dapat membantu mereka pada masa hadapan.

Benarlah bagai dikata, 'guru ibarat lilin membakar diri menerangi orang lain' yang membawa maksud, guru terpaksa menempuh pelbagai kesukaran demi melihat kejayaan anak-anak bangsa.

Melihat wajah cikgu yang amat meminati warna merah jambu ini ternyata dia amat gembira dengan kerjaya yang disandangnya hari ini. Dia amat berharap agar segala keringat yang dicurahkan digunakan sebaik mungkin oleh para pelajarnya dalam meniti kejayaan pada masa hadapan.

- UTUSAN



0 komentar: