Rabu, 16 Mei 2012

Hari Malapetaka Palestin diperingati


BAITULMAQDIS 15 Mei - Penduduk Palestin dan Arab-Israel hari ini mengadakan protes besar-besaran sempena Hari Nakba atau Hari Malapetaka sebagai memperingati pengusiran beratus-ratus ribu rakyat negara ini selepas penubuhan Israel pada 1948.

Tunjuk perasaan diadakan di seluruh wilayah Palestin dan wakil agensi AFP melaporkan, berlakunya pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan yang bertindak melontarkan batu di Issawiya, timur Baitulmaqdis awal hari ini.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, sebuah roket turut dilancarkan dari Gaza ke kawasan selatan rejim Zionis, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia berkaitan dengan perarakan Hari Nakba.

"Sebutir roket atau mortar dilancarkan dari Semenanjung Gaza, mengenai selatan Israel dan tiada kematian atau kecederaan dilaporkan," katanya.

Pihak keselamatan Israel diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sempena ulang tahun Nakba, yang sebelum ini pernah diwarnai pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pihak keselamatan.

Rosenfeld berkata, pasukan tambahan juga dikerah untuk mengawal keadaan.

"Kami sedang memantau situasi terkini dengan meletakkan pihak polis dan tentera di kawasan sempadan. Kami berharap perarakan akan berjalan dengan aman.

"Kami juga mengerahkan beberapa unit di kawasan tertentu," katanya tanpa mengulas lanjut lokasi yang dimaksudkan.

Perarakan utama diadakan di bandar Ramallah dekat Tebing Barat, berdekatan penjara tentera Ofer dan pusat kawalan Qalandia.

Satu perarakan besar-besaran juga diadakan di Semenanjung Gaza bermula kira-kira 8 pagi (4 petang waktu Malaysia hari ini), dengan kumpulan penunjuk perasaan berkumpul di sekitar Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis.

Secara tradisinya penduduk Palestin memperingati tarikh 15 Mei sebagai Hari Nakba, sebagai memperingati kejadian lebih 760,000 orang diusir atau melarikan diri dari rumah mereka selepas Israel ditubuhkan.

Kira-kira 160,000 rakyat Palestin, yang dikenali sebagai Arab Israel, masih kekal tinggal di Israel dan jumlah itu meningkat kepada 1.3 juta orang, 20 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di wilayah rejim Zionis terbabit.

Tahun lalu, tentera rejim melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan dari Lebanon dan Syria yang cuba melepasi sekatan pihak keselamatan dan memasuki Israel, menyebabkan 14 orang terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera.

- AFP



0 komentar: