Rabu, 16 Mei 2012

Menghargai kerjaya jururawat


MEMILIH untuk menjadi seorang jururawat bukanlah cita-cita yang diimpikan oleh semua orang.

Ini kerana ada sesetengah orang berpendapat profesion sebagai jururawat tidak ubah seperti seorang pembantu rumah yang menguruskan segala keperluan pesakit selain memastikan segala-galanya terjaga rapi.

Sedangkan hakikatnya, kerjaya sebagai seorang jururawat sebenarnya satu kerjaya yang mulia dan perlu disanjung tinggi oleh setiap lapisan masyarakat.

Bahkan tidak semua orang mampu melaksanakan tugas seperti mana yang dilakukan oleh jururawat.

Sehubungan itu, setiap 12 Mei setiap tahun, telah diwartakan sebagai Hari Jururawat Antarabangsa di mana ia bertujuan mengiktiraf sumbangan jururawat yang berterusan.

Jika dilihat kembali segala tugas yang dilakukan oleh seorang jururawat, mereka sebenarnya boleh diibaratkan orang kedua penting selepas doktor.

Jururawat Unit Rawatan Koronari (CCU) di Hospital Pantai Kuala Lumpur, Wu Jie Yee, 22, menyifatkan pilihannya untuk menjadi seorang jururawat bukanlah satu pilihan yang salah malah amat berbangga dapat membantu pesakit meringankan beban.

Dia yang sememangnya bercita-cita ingin menjadi jururawat sejak dibangku sekolah tidak membuang masa untuk terus mengikuti pengajian dalam bidang kejururawatan sebaik sahaja tamat persekolahan.

"Saya meminati kerjaya jururawat sejak di bangku sekolah lagi malah saya melihat kerjaya ini sebagai satu pekerjaan yang murni.

"Malah saya telah bersedia dari sudut mental dan fizikal apabila memilih untuk menjadi seorang jururawat.

"Tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat pesakit yang dirawat beransur pulih," ujar anak kelahiran Jerantut, Pahang, ini.

Walaupun baru lapan bulan memulakan tugas di bahagian CCU, Jie Yee tidak menafikan ia lebih mencabar jika hendak dibandingkan daripada wad biasa.

Ini kerana sebelum ini Jie Yee pernah bertugas di wad biasa selama setahun sebelum ditukarkan ke CCU.

Tidak kekok menjalankan tugas harian, Jie Yee dilihat seorang jururawat yang komited dengan tugasan yang diberikan.

Juga tidak pernah menghadapi sebarang masalah sepanjang bertugas, Jie Yee sejujurnya memberitahu tiada kenangan pahit untuk dikenang melainkan semuanya yang manis.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan ada ketika pesakit yang dirawat kadangkala mencabar tahap kesabarannya.

Begitupun sebagai seorang jururawat, Jie Yee menjelaskan mereka tidak boleh memarahi pesakit malah kena bersabar dan berhadapan dengan kerenah setiap pesakit yang mendapatkan rawatan.

Begitu juga dengan Betterline Nyorid, 31, yang bercita-cita menjadi jururawat sejak di bangku sekolah lagi.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak ini tidak teragak-agak untuk memohon jawatan jururawat sebagai tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kini setelah 11 tahun berkhidmat sebagai jururawat, Betterline terus berbangga menyarung seragam jururawat.

Ternyata kesabaran anak bongsu daripada lima beradik ini begitu kukuh apabila secara jujur mengaku tidak pernah mempunyai kenangan pahit walaupun sering dimarahi pesakit.

Baginya, sebagai seorang jururawat, tahap kesabaran yang tinggi perlu ada dalam usaha melayan serta memberikan perkhidmatan yang terbaik buat mereka yang memerlukan.

"Sudah pasti mana-mana jururawat pasti akan berhadapan dengan pelbagai kerenah pesakit dan kena marah itu merupakan perkara biasa.

"Begitupun, kita sebagai jururawat haruslah bersabar kerana ini merupakan salah satu cabaran yang perlu dihadapi apabila anda memilih profesion ini," ujarnya.

Bagi Kalaiselvi Kumaresan, 43, pula, pengalamannya sebagai jururawat selama 20 tahun tidak pernah membataskannya untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik buat pesakit.

Malah tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bertukar kerjaya kerana ia sudah sebati dengan dirinya.

Apa yang lebih menggembirakan anak kelahiran Ipoh, Perak, ini sepanjang bergelar jururawat ialah setiap pesakit yang dirawat kembali pulih dan menjalani kehidupan harian seperti sedia kala.

"Banyak pengalaman yang diperoleh sepanjang 20 tahun bergelar jururawat malah saya amat selesa dengan situasi ini.

"Yang pasti saya amat berpuas hati apabila melihat pesakit kembali sihat selain menjaga mereka yang tidak dapat menguruskan diri ketika sakit.

"Buat masa sekarang saya tidak pernah terfikir atau merancang untuk menukar kerjaya ataupun berpindah tempat", jelas ibu kepada seorang cahaya mata ini.

Dia kini yang ditugaskan untuk melatih jururawat-jururawat baru memberitahu tugas sebagai seorang jururawat sebenarnya amat mencabar.

Selain terpaksa berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit, mereka juga harus berhadapan dengan pelbagai kerenah pesakit.

Bagaimanapun, mereka seharusnya tahu apakah skop kerjaya mereka sebelum membuat keputusan untuk menyarung seragam jururawat.

Ketiga-tiga jururawat ini merupakan antara penerima Anugerah Jururawat Cemerlang pada majlis sambutan Hari Jururawat 2012 yang diadakan di Hospital Pantai Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Wu Jie Yee telah dianugerahkan Jururawat Bintang Harapan, manakala Kalaiselvi pula penerima Pencapaian Sepanjang Hayat dan Betterline dianugerahkan sebagai jururawat paling popular.

- UTUSAN



0 komentar: