Rabu, 16 Mei 2012

SPR sudah bersiap sedia


SHAH ALAM 14 Mei - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersiap sedia dengan segala kelengkapan untuk menguruskan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam bulan ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) berkata, meskipun program penerangan kepada petugas di seluruh peringkat sedang berjalan manakala taklimat Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) hanya akan berakhir pada pertengahan Jun ini, SPR tetap bersedia melaksanakan proses pilihan raya umum.

''SPR merancang persiapan pilihan raya sudah lama seperti program taklimat, proses penghantaran logistik, tempahan perolehan dan jadual pegawai-pegawai kita padat, mereka berada di lapangan untuk mengadakan taklimat di seluruh peringkat.

''Ini termasuk memberikan taklimat kepada para pegawai yang terlibat untuk melaksanakan proses calit dakwat kekal. Bagaimanapun kami tidak tahu bila Parlimen dibubarkan, SPR buat program persiapan mengikut jadual yang sudah ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Kepada PP-KPR dan Persiapan PRU-13 Negeri Selangor di sini hari ini.

Hadir sama Ahli SPR, Datuk Christopher Wan Soo Kee dan Pengarah SPR Selangor, Dzulkifli Ab. Rahman.

Wan Ahmad berkata, SPR tidak mempunyai masalah sekiranya Parlimen dibubarkan secara mengejut kerana berdasarkan peruntukan undang-undang, suruhanjaya itu mempunyai masa selama 60 hari untuk menetapkan tarikh pengundian.

''Jadi kita mempunyai masa membuat ketetapan, kerana selepas dibubarkan Parlimen, tiada sesiapa yang boleh mengarahkan SPR bilakah tarikh yang sesuai untuk dipilih sebagai hari pengundian," katanya.

Dalam pada itu Wan Ahmad berkata, PP-KPR akan ditubuhkan di setiap negeri sama ada berasaskan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen bagi negeri-negeri tertentu.

Beliau memberitahu, pasukan tersebut akan diketuai oleh seorang pegawai pilihan raya, seorang pegawai polis berpangkat inspektor ke atas, wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil setiap parti politik yang meletakkan calon untuk bertanding termasuk wakil calon Bebas.

Katanya, bagi Selangor, pihaknya telah menetapkan sebanyak 56 PP-KPR akan ditubuhkan berasaskan bilangan keseluruhan kawasan DUN di negeri ini manakala di Pahang pula mengikut jumlah Parlimen dengan sebanyak lapan pasukan tambahan.

''Kalau ditubuhkan di semua DUN di seluruh negara, jumlahnya mencecah 505, jadi ini terlalu besar dan bajetnya juga terlalu tinggi kerana setiap pasukan akan dibekalkan dengan dua buah kenderaan pacuan empat roda untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan.

''SPR akan lihat secara terperinci dari pelbagai sudut kepentingan di negeri mana akan lantik PP-KPR mengikut setiap DUN dan yang mana mengikut Parlimen, ini akan dibincangkan dengan pegawai pilihan raya (RO) di kawasan masing-masing," katanya.

Wan Ahmad berkata, SPR akan melantik anggota PP-KPR yang boleh memberikan kerjasama dan bukan mereka yang boleh mencetuskan kekacauan dalam pasukan.

''Kita ada buku panduan tatacara bekerja dan ini kena perlu dijelaskan betul-betul kepada orang politik. Ini kerana kita jangka akan ada tahap ketegangan ketika aktiviti kempen dan ia adalah berbeza-beza antara satu negeri dengan negeri lain.

''Jadi inilah pentingnya PP-KPR untuk pastikan setiap kempen mematuhi undang-undang," katanya.

- UTUSAN



0 komentar: