Sabtu, 05 Januari 2013

Fasa pertama MRT siap 2016

Fasa pertama pembinaan projek Aliran Transit Massa (MRT) diyakini dapat disiapkan mengikut jadual asal iaitu pada akhir tahun 2016.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaksanaan fasa pertama Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang yang melibatkan kos pembinaan tidak melebihi RM23 bilion, bermula dari stesen Sungai Buloh ke stesen Semantan, menepati bajet yang ditetapkan.

Laluan pertama MRT (Sungai Buloh-Kajang) membabitkan dua fasa iaitu Sungai Buloh ke Semantan (fasa satu) dan Semantan ke Kajang (fasa dua).

Projek itu melibatkan jarak 51 kilometer dengan 31 stesen perhentian yang turut melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Beliau berkata, masalah yang dihadapi sebelum ini untuk pelaksanaan projek itu sebahagian besarnya dapat diselesaikan dengan baik terutama berkaitan pengambilan tanah.

Najib berkata demikian selepas membuat tinjauan ke tapak pembinaan stesen MRT bawah tanah Jalan Cochrane di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Azhar Abdul Hamid, Pengarah Bawah Tanah-Terowong Blaise, Mark Pearce dan Pengerusi MRT Corp., Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Perdana Menteri berkata, secara umumnya, reaksi rakyat terhadap projek itu semakin positif kerana mereka melihat projek itu bukan sahaja membantu penghuni di Kuala Lumpur daripada segi pengangkutan awam malah peningkatan nilai tanah yang begitu ketara terutama di kawasan yang terdapat stesen MRT.

“Dengan pelaksanaan projek MRT ini, peluang perniagaan yang baharu akan disediakan dan ia juga akan meletakkan imej Kuala Lumpur sebaris dengan bandar raya utama di dunia,” katanya.

Najib berkata, fasa kedua dari stesen Semantan ke Kajang pula dijangka siap pada akhir Julai 2017 seperti yang dijadualkan.

Katanya, selepas pelaksanaan kedua-dua fasa itu, kerajaan akan membuat keputusan sama ada perlu untuk menyambung projek itu.

– BERNAMA



0 komentar: