Kamis, 31 Januari 2013

Selangor bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Cap Goh Mei

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) selepas sambutan Cap Goh Meh bulan depan.

Katanya cadangan itu tertakluk kepada perbincangan dengan pemimpin tertinggi pakatan pembangkang sebelum pihaknya memutuskan perkara berkenaan.

"Kalau selepas Cap Goh Meh ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak membuat sebarang pengumuman atau memberi apa-apa indicator berhubung tarikh pilihan raya, kita bercadang untuk melakukan perkara ini (bubarkan DUN).

"Kita merasakan rakyat yang memilih kita sudah bersedia (untuk pilihan raya) dan mereka tidak patut menunggu lama lebih daripada tempoh yang sepatutnya (untuk membubarkan Dun)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri bersedia untuk mengadakan pilihan raya serentak dengan kerajaan Persekutuan, Abdul Khalid tidak menolak perkara itu.

"Kita tiada sebarang halangan (untuk mengadakan pilihan raya serentak), dulu saya ada kata kerajaan negeri tidak boleh membuat pilihan raya sebelum perbentangan bajet negeri Selangor, sekarang ini pembentangan bajet pun dah selesai jadi kita bersedia untuk bubarkan Dun," katanya.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, dalam petikan perkara-perkara berhubung kait dengan urusan pilihan raya iaitu perkara LXX. (2), Duli Yang Maha Mulia boleh memprorogkan atau membubarkan Dewan Negeri.

Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Dewan Negeri hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh persidangan pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

Mengenai isu air, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi air Selangor selepas tempoh 14 hari.

Katanya, kerajaan negeri telah pun menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi memaklumkan perkara itu.

"Kita beri tempoh pada kementerian berkenaan 14 hari bermula Isnin depan untuk menjawab kepada kita berhubung pengambilalihan perkhidmatan industri air itu dan sekiranya tiada sebarang maklum balas, proses pengambilalihan itu akan diteruskan," katanya.

- BERNAMA

Sindiket godam e-mel dan pintas akaun cecah RM7.3 juta

Polis membongkar sindiket menggodam e-mel syarikat yang menjalankan transaksi perniagaan secara atas talian bagi memintas pembayaran secara penipuan hingga menyebabkan kerugian setakat ini mencecah RM7.3 juta.

Kegiatan itu dikesan sejak 2010 iaitu sindiket menukar nombor akaun bayaran sesebuah syarikat melalui pintasan e-mel supaya bayaran dimasukkan ke dalam akaun 'keldai' yang digunakan sindiket itu. 

Ketua Unit Siasatan Perisian Komputer Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, DSP Mohamad Lazim Ismail berkata, penipuan itu boleh menjejaskan imej syarikat yang beroperasi dalam negara yang berdagang secara telus dengan syarikat antarabangsa serta menyukarkan aktiviti perniagaan kedua-dua belah pihak.

"Urus niaga perniagaan kedua-dua syarikat melibatkan pembayaran dalam talian. Malangnya sindiket tersebut telah memesongkan nombor akaun bayaran sesebuah syarikat itu melalui pintasan e-mel yang dibuat oleh anggota sindiket atau keldai akaun," katanya kepada Bernama.

Ini mengakibatkan syarikat di Malaysia menuduh syarikat antarabangsa tidak melakukan pembayaran dan apabila semakan dibuat, kedua-dua syarikat ini sebenarnya telah ditipu apabila nombor akaun yang dihantar syarikat antarabangsa kepada syarikat di sini telah pun ditukar, katanya.

Mohamad Lazim berkata, syarikat antarabangsa yang berurusan dengan syarikat di Malaysia antaranya dari India, Arab Saudi, Korea Selatan, Itali, Mexico dan China.

Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan syarikat perlu sentiasa memastikan setiap e-mel yang dihantar kepada rakan urus niaga mesti menggunakan kaedah 'encryption' di mana penerima haruslah memasukkan kod keselamatan untuk membukanya.

"Urus niaga yang dilakukan juga tidak seharusnya dilakukan menerusi e-mel semata-mata tetapi menggunakan kemudahan lain seperti telefon dan faksimili," katanya.

"Jadi saya nasihatkan apa-apa pun ikut pendekatan cara tradisional, setiap perkara yang sudah selesai dibuat, kedua-dua pihak perlu menelefon kembali untuk bertanyakan kata laluan yang sama dibuat kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, bagi awal tahun ini sehingga 15 Januari lepas, tujuh kes dilaporkan melibatkan kerugian RM907,384.

Mohamad Lazim berkata, sepanjang 2012 sebanyak 32 kes dilaporkan melibatkan kerugian RM4.6 juta (RM4,636,487.83) berbanding RM960,150 untuk tempoh 2011 dengan lima kes dan RM800,000 (2010) enam kes dilaporkan.

"Jadi jumlah keseluruhan sejak kes ini mula memasuki Malaysia pada 2010 ia mencatatkan jumlah kerugian RM7,303,871.75 dengan 50 kes dilaporkan.

"Peningkatan angka ini agak membimbangkan dan kami tidak mahu Malaysia menjadi hab sindiket asing yang kami percaya didalangi warga Afrika, jadi syarikat tempatan perlu tahu dan mula mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak tertipu dalam urusan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata, modus operandi kes penipuan atas talian bermula apabila syarikat A (syarikat antarabangsa) membuat urusan perniagaan dengan syarikat B dan pembayaran wang dibuat antara kedua-dua buah syarikat melalui penghantaran arahan menerusi e-mel.

"E-mel yang dihantar syarikat B mengandungi arahan pembayaran dan juga nombor akaun bank di mana bayaran sepatutnya dimasukkan, dan dalam situasi ini sindiket akan menggodam dan mengubah nombor akaun yang terdapat dalam e-mel yang dihantar syarikat B.

"Sindiket akan memasukkan nombor akaun baharu milik mereka tanpa pengetahuan syarikat B. Apabila syarikat A menerima e-mel tersebut terus  membuat pembayaran seperti dalam arahan e-mel tanpa menyedari nombor akaun tersebut telah diubah sindiket asing," katanya.

Beliau berkata, syarikat tempatan yang berurus niaga dengan syarikat antarabangsa kebanyakannya menjual barangan seperti tekstil, bahan kimia, bahan sejuk beku, bijiran, bawang dan cili kering.

Beliau turut meminta orang ramai atau syarikat yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan agar menghubungi urus setia JSJK di talian 03-26163972 pada waktu pejabat, atau bilik gerakan di talian 03-26163999 selepas waktu pejabat.

- BERNAMA

Rabu, 30 Januari 2013

SPR lancar laman web khas PRU13


PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memperkenalkan laman web khas www.pru13.gov.my yang akan memuatkan segala informasi serta proses berhubung perjalanan pilihan raya umum ke-13.
  
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata selain menjadi panduan kepada pengundi yang pertama kali mengundi, laman web itu turut memuatkan peraturan yang baru diperkenalkan pada PRU kali ini.
  
"Antara yang akan dimuatkan dalam laman web berkenaan ialah maklumat terkini proses penamaan calon, tempoh berkempen, proses mengundi, urusan mengundi sehingga pengumuman keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran portal itu di Putrajaya pada 30 Januari 2013.
  
Beliau berkata laman web berkenaan akan menjadi sumber rujukan utama bukan sahaja kepada orang ramai tetapi juga media terutamanya semasa pilihan raya berlangsung.
  
Katanya ia dapat membantu orang ramai dan media mendapatkan maklumat seperti jumlah atau peratus terkini pengundi yang keluar mengundi tanpa perlu menghubungi SPR.

"Setiap maklumat yang dimasukkan adalah terkini dan pegawai SPR akan memastikan ia sentiasa dikemaskini. Kita juga akan pastikan tahap keselamatan untuk mengelak laman web digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab," kata Abdul Aziz.
  
Beliau berkata antara lain, laman web itu diwujudkan bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat tepat dan sahih kerana sudah menjadi kebiasaan setiap kali pilihan raya diadakan pelbagai khabar angin akan timbul.
  
SPR, katanya, mengalu-alukan sebarang maklum balas.
  
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan sekali lagi SPR sentiasa berusaha memastikan senarai nama pengundi dibersihkan, namun berkata mana mungkin ia dapat dibersihkan seratus peratus.
  
"Sebagai contoh jika hari ini SPR memberi jaminan senarai pemilih bersih mungkin esok ada ada berlaku kematian dan ada yang dilucutkan kewarganegaraan,"
katanya.
  
Mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah, beliau berkata empat pegawai SPR sedang dalam senarai menunggu untuk menjadi saksi.

- BERNAMA

Hanya 25% rakyat beli produk baru lancar - Kajian

Hanya suku atau 25 peratus dari pengguna dalam talian di Malaysia menganggap diri mereka sebagai pembeli peringkat awal bagi sesuatu produk inovasi terbaharu, menurut kajian Nielsen.

Daripada jumlah itu, lima peratus daripadanya bersetuju sepenuhnya bahawa mereka menyokong kuat inovasi terbaharu.

Menurut kenyataan Nielson, peratusan itu adalah lebih rendah berbanding peratusan di rantau Asia Pasifik dan purata di peringkat antarabangsa iaitu masing-masing 38 dan 34 peratus.

Kajian Nielsen Global Survey of New Product Purchase Sentiment melibatkan 29,000 responden internet daripada 51 negara telah menunjukkan bahawa 'konsep yang terbukti' (proof of concept) memberi pengaruh besar dalam membeli inovasi baharu.

Hampir 65 peratus responden di negara ini menyatakan bahawa mereka akan menunggu sehingga inovasi baharu itu terbukti bagus sebelum membelinya.

Bagi keutamaan jenama pula, 65 peratus pengguna negara ini memilih untuk membeli produk baharu yang dikeluarkan oleh jenama yang sudah dikenali iaitu lebih tinggi berbanding jumlah purata bagi Asia Pasifik dengan 55 peratus.

Pengarah Urusan Nielsen Malaysia, Richard Hall berkata, walaupun pengguna gemar melihat produk baharu, tetapi untuk menjadi pembeli pertama, pengguna akan memikirkan mengenai apa yang akan terjadi kepada produk berkenaan selepas dibeli.

Katanya, perkara tersebut termasuk penjagaan selepas membelinya bagi jangka masa pendek dan pertengahan.

"Walaupun kepercayaan terhadap jenama yang sudah terkenal dan dipercayai membantu menarik perhatian bila produk baharu dilancarkan, namun budaya 'tunggu dan lihat' rakyat Malaysia sudah menjadi norma dalam membuat pembelian.

"Apa yang penting, harga untuk persamaan nilai kekal menjadi faktor utama dalam kejayaan sesuatu produk, begitu juga pengalaman peribadi yang positif dan juga pengesahan secara lisan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berbanding 64 peratus di Asia Pasifik, 49 peratus pengguna Malaysia didapati akan memberitahu orang lain mengenai produk yang mereka beli.

Menurut kajian itu juga, pengiklanan secara tradisional dan komunikasi secara lisan adalah cara pemujukkan yang paling berkesan untuk memperkenalkan produk baharu di Malaysia.

Katanya, 69 peratus pengguna akan yang mendapat sampel percuma adalah lebih tertarik untuk membeli produk baharu itu.

Teknik yang sama juga diikuti dengan mendengar nasihat dari keluarga dan rakan dengan 69 peratus dan nasihat pakar (67 peratus).

Selain itu, kesedaran meyakinkan mengenai produk juga diperolehi dengan melihat produk di kedai dengan 67 peratus, iklan televisyen (56 peratus) dan internet (56 peratus).

- UTUSAN

Pewaris patut sepakat urus harta pusaka

Daripada Jabir, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Peliharalah hartamu baik-baik dan jangan dirosakkan kerana setiap orang yang diberi suatu pemberian maka harta itu menjadi milik yang diberi selama hidupnya dan apabila dia meninggal menjadi milik keturunannya.” (Riwayat Muslim)

Perkara yang bersabit dengan pewarisan harta pusaka seperti waris, pewaris, warisan dan ahli waris. Waris adalah orang yang menerima pusaka. Pewaris orang yang mewariskan, manakala warisan pula benda yang diwariskan atau dipanggil pusaka peninggalan.

Ahli waris adalah semua orang yang menjadi waris. Menurut adat, menjual harta pusaka yang tinggi nilainya adalah dilarang apalagi untuk kepentingan peribadi si penjual. Menjual harta pusaka bererti seolah-olah seseorang itu melupakan masa depan generasi selepasnya.

Dalam masyarakat Melayu kita, wujud suatu anggapan bahawa orang yang menjual harta pusaka yang tidak sepatutnya akan mengundang malapetaka dalam hidupnya serta mendapat kutukan. Namun, dewasa ini berlaku juga penjualan harta pusaka disebabkan berbagai alasan”

Bahkan dalam masyarakat Melayu kita, wujud suatu anggapan bahawa orang yang menjual harta pusaka yang tidak sepatutnya akan mengundang malapetaka dalam hidupnya serta mendapat kutukan. Namun, dewasa ini berlaku juga penjualan harta pusaka disebabkan berbagai alasan.

Antaranya, tanah pusaka itu tidak produktif lagi seperti tanah sawah atau ladang yang sudah tidak mendatangkan hasil. Lalu ia dijual untuk dibina projek perumahan, perusahaan (kilang) dan sebagainya.

Tidak ada yang sanggup menguruskannya hingga ia terbiar begitu saja, manakala ahli waris pula tinggal berjauhan dan sukar untuk menguruskannya. Harta pusaka dijual bertujuan untuk ditukarkan dengan sesuatu lain yang lebih produktif dan ia diberikan status harta pusaka.

Dalam hal ini apa yang penting adalah sesuatu keputusan berkaitan harta pusaka mestilah diambil dengan kesepakatan seluruh ahli keluarga atau anggota waris sama ada jauh atau dekat demi mengelak berlakunya perbalahan.

Lumrah manusia mudah terpedaya apabila dilimpahi harta dan wang yang banyak hingga sanggup melakukan apa saja demi memenuhi kehendak nafsu termasuk membunuh, menipu, mengkhianati atau sebagainya.

- BERITA HARIAN


Tengkorak rambut panjang tergantung dicelah pokok di Sepang



SEPANG – Seorang pekerja landskap terkejut menemui tengkorak wanita berambut panjang tergantung di celah sebatang pokok rimbun di pintu masuk Pusat Pentadbiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, 29 Januari 2013.

Kejadian pukul 11 pagi itu disedari oleh pekerja itu kira-kira 100 meter dari bangunan Terminal Penerbangan KLIA.

Satu sumber berkata, tengkorak manusia warga China itu ditemui oleh seorang pekerja yang ditugas menebas rimbunan pokok di kawasan itu.

Sumber itu berkata, pokok itu dipercayai pokok mengkuang.

“Semasa melakukan kerja-kerja di situ, pekerja itu terkejut menemui tengkorak manusia tergantung di celah pokok manakala rangkanya pula bersepah di tanah.

“Rangka manusia itu berseluar jeans dan berbaju serta berambut panjang,” kata sumber itu ketika dihubungi

- KOSMO!

 

Keputusan Calon Lulus STAM 2012 Meningkat

PUTRAJAYA: Sebanyak 3,925 atau 67.4 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2012 berjaya memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (lulus) dalam kesemua 10 mata pelajaran.

Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Dr Na'imah Ishak berkata ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya 3,420 calon yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus pada 2011.

Beliau berkata 385 calon mendapat Mumtaz (cemerlang), 1,263 mendapat Jayyid Jiddan (sangat baik), 1,868 calon mendapat Jayyid (baik) dan 409 lagi Maqbul (lulus).

Sebanyak 5,818 calon menduduki STAM tahun lepas di 116 pusat peperiksaan seluruh negara.

"Secara keseluruhan pencapaian calon STAM menunjukkan peningkatan sebanyak 0.08 mata, iaitu daripada indeks Gred Purata Nasional (GPN) 3.16 mata pada 2011 kepada 3.08 mata pada 2012," katanya semasa mengumumkan keputusan STAM 2012 di Kementerian Pelajaran di sini, Rabu.

STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000 dan mendapat pengiktirafan setaraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melayakkan calon yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Na'imah berkata enam mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi iaitu Tauhid dan Mantiq, Fiqh, Balaghah, Hifz al-Quran dan Tajwid, Nahu dan Sarf serta Hadith dan Mustolah.

Manakala berlaku penurunan prestasi untuk mata pelajaran Adab dan Nusus, Tafsir dan Ulumuhu, 'Arudh dan Qafiyah dan Insya' Mutala'ah, kata beliau.

"Tetapi untuk mata pelajaran Adab dan Nusus, kita mendapat makluman bahawa penurunan prestasi bukan sahaja melibatkan calon di Malaysia tetapi juga di Universiti Al-Azhar," katanya.

Beliau berkata pelbagai program intervensi akan dilaksana dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri serta sekolah untuk meningkatkan pencapaian keseluruhan mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.

Na'imah berkata calon-calon yang tidak berjaya berpeluang menduduki semula peperiksaan itu untuk memperbaiki pencapaian mana-mana mata pelajaran yang kurang memuaskan.

- BERNAMA

AMANAT 2013 MENTERI PENGAJIAN TINGGI

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyampaikan amanat tahun baru 2013 di hadapan warga kerja kementerian tersebut dan agensi-agensi di bawahnya di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada pagi Selasa, 29 Januari 2013.

Dalam amanat tahunannya itu, Khaled telah membentangkan lapan agenda dan 44 Pernyataan Dasar, Inisiatif dan Perubahan Struktural yang beliau sifatkan sebagai "ini bukan milik saya, tetapi milik kita bersama untuk menjayakannya."

Berikut adalah teks penuh ucapan beliau untuk rujukan bersama:

1. Pertamanya, sukalah saya menzahirkan rasa penuh kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah, kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama di majlis Amanat Tahun Baharu 2013 pagi ini. Amanat tahun baharu ini telah menjadi satu acara tahunan kementerian di mana kita berpeluang bukan sahaja menghimpunkan satu keluarga besar yang mempunyai persamaan menggalas amanah membangunkan sektor pengajian tinggi negara, tetapi membolehkan kita mendapat gambaran hala tuju sektor ini bagi tahun 2013 yang sewajarnya menjadi panduan dan rujukan oleh semua pihak.

Pada masa yang sama, peluang ini diharap dapat menjelaskan kepada masyarakat dan semua pemegang taruh, apakah perancangan perkembangan haluan sektor pengajian tinggi negara khususnya dalam menjayakan hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

2. Amanat saya pada tahun ini akan memberikan tumpuan kepada sumbangan pengajian tinggi dalam memacu daya saing Malaysia. Hal ini penting kerana pengajian tinggi bertujuan bukan sahaja memenuhi tuntutan dan kepentingan dalaman negara semata-mata, tetapi menentukan apakah Malaysia mampu mengekalkan daya saingnya dalam pentas global.

Saya percaya, daya saing Malaysia dan kelestariannya amat bergantung kepada sejauhmanakah negara menjayakan kemampuannya menggerakkan ekonomi berinovasi, memantapkan sistem pengajian tinggi, menjamin Institusi Pengajian Tinggi yang berkualiti, membangunkan mahasiswa IPT sebagai bakat negara dan mengoptimakan peranan pengajian tinggi di peringkat global. Dan inilah asas dalam peranan sektor pengajian tinggi yang akan menentukan daya saing Malaysia masa kini dan akan datang.

3. Seperti kita sedia maklum, cabaran dan perubahan lanskap pengajian tinggi amatlah dinamik dan perlu ditangani dengan bijaksana. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat timbulnya keprihatinan yang lebih tinggi orang ramai akan kepentingan pengajian tinggi untuk pengukuhan ekonomi, pengembangan sosio-budaya dan pembangunan masa depan masyarakat, yang pada asasnya bermula dari penguasaan ilmu seseorang individu.

Dalam era perkembangan ilmu yang pesat, penghasilan inovasi serta tahap interaksi pada peringkat global yang tinggi, kita perlu memikirkan bagaimana sistem pengajian tinggi dapat meningkatkan kapasiti rakyat negara ini, agar menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara sekaligus memantapkan tahap persaingan global Malaysia.

4. Lebih penting, fungsi baharu institusi pengajian tinggi dalam merakyatkan ilmu memerlukan perubahan paradigma yang akan memberi kesan kepada cara kita berfikir, mengatur strategi dan beroperasi. Justeru itu, fungsi baharu ini juga perlu diintegrasikan dengan fungsi asas pengajian tinggi iaitu pencarian ilmu dan meningkatkan tahap intelek rakyat serta juga perlu mengambil kira akan transformasi dasar pendidikan pada peringkat pra-sekolah dan sekolah serta dasar-dasar lain yang berkaitan.

Kesemua cabaran ini mendorong kementerian untuk menilai semula pelan, polisi dan perancangan pengajian tinggi yang sedia ada terutama kerelevanan teras utama dan Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

5. Sehubungan dengan itu, suka saya maklumkan bahawa PSPTN yang dilancarkan pada tahun 2007 akan dikaji semula. Inibertujuan menambahbaik dan menyusun mengikut keperluan semasa dan akan datang melalui inisiatif baharu yang berimpak tinggi, keberhasilan yang lebih jelas, berupaya dilaksanakan secara bijaksana sehingga mampu melonjakkan lagi pengajian tinggi negara ke tahap kegemilangan.

Kajian PSPTN ini akan bermula bulan ini dan dijangka selesai bulan September akan datang dan hasil kajian boleh dilaksanakan mulai tahun 2014. Insya Allah.

PERTAMA: MEREKAYASA PERANAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

6. Apabila masyarakat menyatakan 'Universiti sebagai Gedung Ilmu', ia mempunyai pengertian yang mendalam. Universiti bukan sekadar pusat pengajian tinggi atau menara gading, tetapi adalah institusi pencinta ilmu atau menara ilmu, tempat di mana pengetahuan dikumpul dan yang baharu diterokai, disampaikan kepada pelajar, dan dipindahkan kepada masyarakat.

Di universitilah, cendekiawan (scholar) daripada pelbagai bidang berkumpul dan sentiasa mengabdikan diri kepada ilmu dan mereka menjadikan ilmu sebagai pegangan untuk membawa masyarakatnya maju ke hadapan.

7. Negara tidak mampu menampung Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak relevan. Sehubungan dengan itu, IPT perlu berganjak daripada paradigma menara gading ke menara ilmu. Universiti tempatan mesti melakukan perubahan atau transformasi sesuai dengan peredaran zaman dan kehendak semasa agar tidak terkebelakang dan terperangkap dalam corak pemikiran yang sama dan kaku.

Bagi mencapai tujuan ini, IPT perlu keluar daripada tradisi lama yang hanya memberi perhatian kepada pengajaran dan penyelidikan dengan juga memberi penekanan kepada kepentingan Polisi Awam selari dengan peranan ketiganya iaitu perkhidmatan untuk masyarakat. Pendekatan yang memperlihatkan peralihan set minda dari ‘ilmu untuk ilmu’ kepada ‘ilmu untuk masyarakat dan negara’ ini akan membawa banyak manfaat khususnya menyokong usaha IPT dalam mentransformasikan komuniti.

8. Dalam hal ini, setiap universiti diminta untuk mewujudkan Pusat Transformasi Komuniti Universiti atau University Community Transformation Centre (UCTCs) berasaskan nic masing-masing dengan menggerakkan sumber intelektual dan infrastruktur fizikal universiti untuk mentransformasikan komuniti.

Pendekatan yang menggunakan strategi Lautan Biru ini akan mengoptimakan kewujudan IPTA dan prasarananya dalam pembangunan komuniti yang inovatif. Ini dapat dilakukan dengan menghubungkan tenaga akademik dan mahasiswa dengan komuniti dalam konteks mewujudkan kursus-kursus praktikal yang boleh menangani persoalan komuniti setempat, mempromosi keusahawanan, menghubungkan UCTC dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC), membenarkan penggunaan prasarana universiti oleh komuniti dan penyelidikan pembelajaran sepanjang hayat. Ini akan menjadikan program jalinan atau libatsama komuniti semakin tersusun, kukuh dan memberi impak yang lebih besar.

9. Kementerian mahu menilai setiap program jalinan atau libatsama komuniti berupaya memberi impak dan mempunyai nilai keberhasilan yang tinggi dalam mentransformasikan komuniti. Oleh itu, penilaian perlu dibuat ke atas setiap program jalinan atau libatsama komuniti tersebut.

Dalam hal ini, kementerian telah mengambil inisiatif membangunkan Guide to Assessing APEX Special Project-Community Engagement untuk menilai program jalinan dan libatsama komuniti dalam empat aspek iaitu perancangan, proses, keberhasilan dan impak. Kementerian akan menggunakan instrumen yang mula dilaksanakan di Universiti Sains Malaysia (USM) ini pada semua IPT yang lain bagi mengukur program libatsama komuniti mereka.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KEDUA: MENJANA EKONOMI BERINOVASI

10. Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi bergantung kepada usaha menjana ekonomi yang berinovasi. Sebagai hab inovasi negara, IPT mempunyai peranan penting dalam menjana pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negara melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan dengan menghasilkan paten, penerbitan berimpak tinggi dan mengeluarkan graduan pascasiswazah. Kita harus melangkah kehadapan menentukan idea-idea baharu dan dinamik yang dapat memperkukuhkan lagi rantaian penyelidikan khususnya dalam aspek pengkomersilan.

11. Sehubungan dengan itu, jentera inovasi semua institusi pengajian tinggi perlulah diperkemaskan lagi. Ini dapat dilakukan antaranya dengan menggalakkan penggabungan harta intelek dari semua IPT bagi menghasilkan produk baharu atau produk nilai tambah. Oleh itu, kementerian sedang menimbang untuk menyediakan platform berpusat dengan membentuk bank harta intelek IPT.

Semua harta intelek yang dihasilkan oleh IPT Malaysia perlu didaftar dalam bank ini. Seterusnya, hos bank ini akan menyediakan medium untuk penyebaran dan perkongsian maklumat tentang harta intelek yang telah didaftarkan. Bank yang dinamakan "Idea Interchange and Connection Bank" (I2C Bank) ini akan dikendalikan secara profesional dalam memperkukuhkan usaha mengalirkan hasil intelek berpotensi ke pasaran global.

12. Bagi memperkukuhkan lagi sumbangan universiti penyelidikan, kementerian menyarankan agar kelima-lima universiti penyelidikan membentuk jaringan kolaborasi yang kukuh iaitu Jaringan Universiti Penyelidikan Malaysia atau Malaysia Research University Network (MRUN) yang akan dipengerusikan secara bergilir antara mereka.

Jaringan ini akan berperanan sebagai sinergi kepada kegiatan penyelidikan dalam mengoptimumkan penggunaan kepakaran dan sumber, menonjolkan MRUN sebagai satu jaringan yang mantap di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, sebagai peneraju dan perintis dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan keusahawanan (RDCE) dan membimbing dan bekerjasama secara kolektif dengan IPT lain dalam dan luar negara, dan dengan industri dalam usaha memupuk dan meningkatkan budaya penyelidikan.

13. Langkah menubuhkan Aeropsace Malaysia Innovation Centre (AMIC) adalah bertepatan sekali dengan aspirasi ini yang memperlihatkan kerjasama dalam bidang aerospace antara IPT diketuai oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan penyertaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM), industri teknologi tinggi seperti Composites Technology Research Malaysia (CTRM) dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) bersama syarikat teknologi tinggi antarabangsa seperti European Aeronautic Defence and Space Company (AEDS) dan Rolls Royce.

Saya percaya, jaringan MRUN akan membolehkan tumpuan diberikan kepada bidang-bidang utama penyelidikan negara yang lain juga.

14. IPT mempunyai banyak makmal penyelidikan dalam nic yang sama. Contohnya, nic Nanoteknologi mempunyai 16 buah makmal, Bioteknologi 41 buah makmal dan Automatif 84 buah makmal di seluruh negara. Kerjasama makmal penyelidikan merentasi IPT bersama industri adalah perlu jika kita ingin melihat keberhasilan yang berimpak tinggi. Sehubungan dengan itu, kementerian ingin memperkenalkan program Central Lab Management (CLM) atau Makmal Pengurusan Berpusat dengan peruntukan sebanyak 80 juta ringgit.

Program ini bertujuan memastikan perkongsian teknologi antara makmal penyelidikan IPT bersama industri ke arah memajukan nic strategik yang dikenalpasti seperti Nanoteknologi, Bioteknologi dan Automatif sekaligus membantu kemajuan industri negara khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Kerjasama ini besar ertinya apabila ia bukan sahaja mempereratkan hubungan antara makmal IPT dan industri, tetapi turut membangunkan teknologi tempatan pada masa yang sama.

15. Beberapa tahun terakhir ini, saya telah meminta supaya semua Universiti Komprehensif mencari nic penyelidikan dan inovasi masing-masing sehingga menjadi Universiti Komperhensif Berfokus yang unik dan mempunyai kekuatan tersendiri. Saya gembira melihat telah muncul beberapa Universiti Komperhensif Berfokus seperti yang berfokuskan pengurusan, pendidikan, keusahawanan, pertahanan dan keselamatan, sains kelautan dan sains Islam.

Kini telah tiba masanya kita memberikan tanggungjawab dan kepercayaan kepada Universiti Komperhensif Berfokus untuk menentukan hala tuju, strategi dan pengurusan Penyelidikan dan Inovasi mereka supaya lebih berkesan dan berimpak tinggi. Kementerian akan menyalurkan terus dana penyelidikan dan inovasi kepada universiti ini berasaskan perancangan jangka sederhana (lima tahun) dan keperluan dana penyelidikan secara tahunan.

Sehubungan dengan itu mulai tahun ini, dana khas penyelidikan sebanyak sepuluh juta ringgit disediakan bagi membolehkan Universiti Komprehensif dan Komprehensif Berfokus membangunkan bidang tujahan mereka.

16. Selain itu, bagi meningkatkan lagi kecemerlangan penyelidikan di IPT, satu sistem pengurusan geran-geran penyelidikan secara online akan diperkenal dan dilancarkan hari ini. Sistem yang dilengkapi dengan ciri-ciri laman sosial serta akses kepada bahan-bahan penyelidikan melalui Portal Penyelidikan MyGRANTs akan dapat membantu penyelidik dalam kerja-kerja penyelidikan dengan lebih mudah.

Lebih penting, dengan adanya sistem MyGRANTs ini, kolaborasi antara penyelidik dari pelbagai IPT juga akan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah serta produk-produk hasil penyelidikan juga akan dapat diakses oleh pihak industri untuk proses pengkomersialan. Ia juga dilengkapi dengan keupayaan untuk membuat analisis kepada data-data penyelidikan bagi membantu pengurusan atasan membuat pemantauan dan keputusan dasar.

17. Kejayaan dalam menjana ekonomi berinovasi turut bergantung kepada jumlah graduan pascasiswazah yang dianggap sebagai modal insan berpengetahuan tinggi. Berdasarkan rekod kementerian pada tahun 2012, jumlah enrolmen pascasiswazah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah seramai 79,633 orang manakala 20,267 orang di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Ini bermakna terdapat jurang yang besar antara IPTA dan IPTS. Justeru itu, saya berharap IPTS khususnya dapat memperkukuhkan lagi program pengajian pascasiswazah mereka dan menambah jumlah pelajar di peringkat tersebut.

18. Dalam hal ini, hala tuju dan pelaksanaan pengajian pascasiswazah perlulah lebih jelas dan tersusun. Sistem sokongan pengurusan pengajian ini mestilah diperkemaskan agar lebih cekap khususnya di universiti baharu. Selain itu, konsep kontinum program pra dan pascasiswazah juga boleh diperkenalkan.

Ini bermakna, pelajar-pelajar prasiswazah yang cemerlang boleh diserap terus ke program pascasiswazah dengan dan melalui kaedah ini, ia boleh meningkatkan kemasukan calon pascasiswazah.

19. Selain itu, kementerian juga akan melaksanakan pelaksanaan audit program pascasiswazah di IPTA. Audit ini mempunyai beberapa tujuan iaitu pertama, memastikan kelayakan Sarjana dan Doktor Falsafah dari IPTA yang telah diluluskan dan dianugerahkan sebelum penubuhan Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) pada 1 November 2007, diakreditasikan oleh MQA seperti mana program yang ditawarkan oleh Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Kedua, membolehkan semua kelayakan Sarjana dan Doktor Falsafah dari IPTA diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan disenaraikan di dalam Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register [MQR]). Ketiga, menyemak dan menilai amalan, dasar dan pencapaian pengendalian program pascaijazah semasa IPTA, menanda aras (benchmark) standard dan kualiti pengendalian program pascasiswazah IPTA dengan amalan terbaik universiti-universiti terkemuka di luar negara. Dan keempat, melaksanakan analisis jurang (gap analysis) dan analisis masalah. Lawatan Audit Program Pascasiswazah IPTA ini dijangka bermula pada awal tahun 2013.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KETIGA: KUALITI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

20. Kualiti adalah jantung kepada kecemerlangan dan kewibawaan Institusi Pengajian Tinggi. Agenda memperkukuhkan kualiti IPT dalam semua aspek meliputi pengurusan institusi, program akademik dan penyelidikan, tenaga akademik, pelajar baharu dan graduan yang dihasilkan akan dipergiatkan. Saya percaya IPT sentiasa memberi perhatian utama kepada soal kualiti dan tidak hanya memberikan tumpuan kepada aspek kuantiti sahaja.

21. Hasil daripada pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan aksesibiliti dan ekuiti pengajian tinggi, jumlah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia telah berkembang secara dinamik. Sehingga 30 November tahun lalu, terdapat 37 buah Universiti Swasta; 20 buah Kolej Universiti Swasta, tujuh buah Kampus Cawangan Universiti Luar Negara.

Pada masa ini juga, negara mempunyai 414 buah Kolej Swasta yang aktif menawarkan sijil dan diploma dalam pelbagai bidang. Namun demikian, dalam keghairahan untuk meningkatkan kadar aksesibiliti dan mengurus kepesatan perkembangan sektor pengajian tinggi negara, usaha-usaha pemerkasaan dan peningkatan keupayaan serta kualiti IPTS sedia ada perlu dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.

22. Kementerian berpandangan jumlah IPT di negara telah mencukupi untuk menampung permintaan pengajian tinggi sama ada dari dalam dan luar negara. Walaupun permohonan ke IPT masih tinggi, terdapat tanda-tanda menunjukkan bahawa IPT mengeluarkan graduan melebihi kehendak pasaran. Oleh itu, bilangan IPTS yang ditubuhkan pada ketika ini wajar dikawal untuk memberi fokus kepada usaha memantapkan kualiti dan kelestarian IPT.

23. Dengan ini sukalah saya mengumumkan MORATORIUM (pembekuan) ke atas penubuhan IPTS baharu berstatus universiti, kolej universiti, dan kolej yang akan dilaksanakan bagi tempoh dua tahun bermula 1 Februari 2013. Walau bagaimanapun, pengecualian moratorium diberikan kepada permohonan IPTS yang sedang diproses, IPTS sedia ada yang mohon dinaiktaraf, kampuscawangan luar negara yang mempunyai ranking terbaik dunia dan dibina dalam hab pendidikan.

24. Selaras dengan perkembangan sektor pengajian tinggi negara yang dinamik khususnya pengajian tinggi swasta pada hari ini, kementerian perlu lebih terbuka dalam menyemak semula semua peraturan dan garis panduan semasa agar lebih bersifat holistik. Perkara ini adalah bagi menyokong kepada pelaksanaan dasar liberalisasi pengajian tinggi yang bakal menjadikan sektor pengajian tinggi di Malaysia lebih berdaya saing dan kualitinya setanding dengan negara maju yang lain.

Sehubungan dengan itu, inisiatif semakan semula terhadap peraturan-peraturan dan garis panduan di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] akan dilaksanakan dengan pembentukan sebuah Jawatankuasa dipengerusikan oleh Prof. Dato’ Dr. Hassan Said, Naib Canselor Taylor University. Jawatankuasa ini akan bermula bulan Februari dan dijangka inisiatif semakan semula ini dapat diselesaikan pada tahun ini juga.

25. Selain itu, kementerian juga akan mengambil tindakan memperkenalkan semakan kelestarian terhadap 10 buah IPTS setiap tahun. Pemilihan IPTS yang disemak kelestariannya akan dibuat berdasarkan aduan-aduan yang diterima oleh orang ramai mengenai perkhidmatan dan prestasi IPTS tersebut atau pemilihan yang dibuatsecara rambang. Langkah ini bertujuan mengenalpasti IPTS-IPTS yang mempunyai risiko dan memberi peluang kepada mereka untuk mengambil tindakan susulan dan menentukan langkah-langkah penambahbaikan.

26. Pada tahun lalu, lima buah universiti penyelidikan telah dianugerahkan autonomi dalam empat bidang iaitu Governan Institusi, Kewangan dan Penjanaan Kekayaan, Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Akademik serta Kemasukan Pelajar. Pada tahun ini, selepas selesai proses audit menggunakan instrumen Code of University Good Governance (CUGG) dan University Good Governance Index (UGGI), saya ingin mengumumkan dua buah lagi universiti awam telah layak dianugerahkan autonomi.

Universiti-universiti tersebut adalah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Utara Malaysia (UUM). Tahniah saya ucapkan. Saya berharap dengan pemberian autonomi ini, Lembaga Pengarah Universiti (LPU) mempunyai kesediaan untuk melaksanakan tanggungjawab baharu selaras dengan penurunan kuasa kepada mereka demi kecemerlangan IPT.

27. Sebagai tambahan kepada usaha berterusan meningkatkan kecemerlangan IPT melalui inisiatif SETARA, MyRA dan MyQuest, Sistem Penarafan Disiplin Pengajian (Discipline-Based Rating System,D-SETARA) ke atas universiti dan kolej universiti di Malaysia telah dilaksanakan. Fokus D-SETARA adalah terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam empat disiplin pengajian iaitu Kejuruteraan, Pelancongan dan Hospitaliti, Perubatan, Pergigian dan Farmasi serta Sains Kesihatan.

28. Pemilihan disiplin pengajian ini secara tidak langsung menyokong inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara (National Key Economic Area, NKEA) dalam kluster Pendidikan yang mensasarkan pembangunan beberapa kelompok disiplin pengajian. Sebanyak 37 buah universiti dan kolej universiti terlibat dalam penilaian pada kali ini. Dan selepas proses penilaian yang teliti dijalankan oleh jawatankuasa khas, sukacita saya memaklumkan keputusan D-SETARA telah bersedia untuk diumumkan pada hari ini.

29. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua IPT yang terlibat kerana saya difahamkan, hampir semua IPT yang layak, telah menyertai eksesais D-SETARA kali ini. Ini adalah satu petanda baik dan menggambarkan kesediaan IPT di negara menobatkan kualiti dan kecemerlangan dalam institusi mereka. Di masa akan datang, saya berharap eksesais ini dapat diperluaskan untuk bidang-bidang pengajian yang lain pula sehingga pada satu masa nanti, semua bidang pengajian akan dapat dinilai. Ini juga membolehkan eksesais D-SETARA dapat menggantikan eksesais SETARA, Insya Allah.

30. Selain universiti, aspek kualiti dan kecemerlangan Institusi Politeknik juga turut diberikan perhatian agar dapat memberikan sumbangan yang berkesan melahirkan tenaga kerja mahir khususnya dalam menjayakan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Selepas melancarkan Transformasi Politeknik pada tahun 2010, banyak perkembangan dan kemajuan telah dicapai dalam usaha mengarusperdanakan politeknik sebagai institusi pilihan.

Sehubungan dengan itu, bagi meneruskan usaha murni ini, Fasa Dua iaitu Fasa Peningkatan (2013-2015), Transformasi Politeknik akan dilancarkan pada tahun ini. Pada masa yang sama, eksesais Polyrate bagi mengukur kecemerlangan Institusi Politeknik negara akan terus dilaksanakan meliputi 23 buah politeknik pada tahun ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Memberi Roh dalam Pembelajaran dan Pengajaran)

31. Penghasilan modal insan unggul adalah penting ke arah pembentukan masyarakat dan negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ini bermakna kualiti graduan institusi pengajian tinggi mesti diperkukuhkan terutama dalam aspek kemahiran pemikiran peringkat tinggi, penyelesaian masalah dan komunikasi lisan.

Walaubagaimanapun, hasrat ini akan terganggu sekiranya pendekatan pembelajaran dan pengajaran di IPT masih berpusatkan pensyarah, kuliah yang berbentuk sehala, penilaian untuk pembelajaran (assessment for learning) jarang berlaku dan masih banyak kursus yang bergantung kepada peperiksaan akhir sebagai cara untuk menilai penguasaan hasil pembelajaran pelajar yang pelbagai.

32. Justeru itu, kita perlu melipat gandakan usaha dalam bidang pembelajaran dan pengajaran secara strategik dan berkesan termasuk mentransformasikan kurikulum berasaskan hasil, pengajaran berpusatkan pelajar dan penilaian sebagai asas pembelajaran. Dalam konteks pembelajaran dan pengajaran pengajian tinggi, kita perlu meneliti kembali sejauh mana pelajar belajar dengan bermakna dan sejauh mana pensyarah mengajar dengan berkesan.

Kita perlu memastikan empunya pembelajaran (ownership of learning) adalah pelajar. Pengajaran yang dilakukan oleh pensyarah sepatutnya merangsang, membantu, membimbing dan mendorong setiap pelajar yang berlainan latar belakang dan upaya untuk terus belajar secara mendalam dan bermakna. Ruang dan peluang pembelajaran seharusnya dibuka seluas-luasnya untuk membolehkan setiap pelajar belajar menguasai hasil pembelajaran program pengajian. Dengan usaha ini, saya yakin ‘roh’ pembelajaran dan pengajaran pengajian tinggi akan terus subur dalam menghasilkan modal insan yang kita harapkan.

33. Inovasi Pembelajaran dan pengajaran juga perlu mengambil manfaat perkembangan teknologi khususnya ICT. Sehubungan dengan itu, pada tahun lalu, kementerian telah mewujudkan dana T-Novation bagi memperhebatkan lagi aktiviti penyelidikan dalam bidang pembelajaran dan pengajaran.

Ini mencakupi skop yang luas dan meliputi pelbagai aspek utama pembelajaran dan pengajaran seperti inovasi kurikulum/kandungan, strategi/teknik pengajaran dan pembelajaran, aktiviti pengajaran dan pembelajaran, bahan bantu mengajar, sistem, perisian, pakej dan modul pengajaran dan pembelajaran, alatan/gajet pengajaran dan pembelajaran serta inovasi penilaian dan pentaksiran pengajaran dan pembelajaran.

34. Sejak dilancarkan Oktober tahun lalu, 90 cadangan penyelidikan telah pun diterima dan selepas semua proses berjalan, produk akhir T-Novation akan dapat dihasilkan menjelang akhir tahun ini. Pelaksanaan penyelidikan T-Novation ini diharap akan dapat menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui penciptaan ilmu dan kaedah baharu yang akan memupuk daya kreativiti dan inovatif serta mampu melahirkan graduan-graduan yang mempunyai atribut-atribut kebolehpasaran.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Kolej Siswa sebagai Tempat Pembelajaran Kedua)

35. Kehadiran mahasiswa di kampus bersifat sementara, lazimnya antara dua hingga empat tahun. Oleh itu, kesempatan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam konteks pembelajaran dan pengajaran tidak formal. Memandangkan pelajar menghabiskan lebih banyak masa di kolej siswa (kediaman), IPT perlu memikirkan bagaimana kolej boleh berfungsi sebagai tempat pembelajaran selain di dewan kuliah dan makmal.

Oleh itu, universiti perlu mengambil peluang ini untuk membina sekitaran 'kolej sebagai tempat pembelajaran kedua'. Paradigma begini membolehkan pembangunan dan pengurusan kolej dirancang sebagai 'tempat berehat dan belajar'.

36. Dengan perspektif baharu ini, kolej dan sekitarannya perlu dibangunkan untuk memenuhi beberapa keperluan lain, keperluan riadah dan bersukan, serta keperluan untuk berinteraksi dan membina kemahiran insaniah. Daripada perspektif 'kolej sebagai tempat pembelajaran kedua' ini, universiti perlu menyediakan kemudahan infrastruktur dan sumber manusia yang membolehkan fungsi ini dilakukan dengan berkesan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KEEMPAT: MEMPERKUKUHKAN KOBOLEHPASARAN GRADUAN

37. Meskipun pertumbuhan ekonomi negara berada pada tahap yang kukuh, kita perlu terus memberikan perhatian kepada isu dan cabaran kebolehpasaran graduan. Kita sedia maklum bahawa Blueprint Kebolehpasaran Graduan 2012-2017 telah dilancarkan pada akhir tahun lalu bertujuan memenuhi keperluan guna tenaga profesional dan mahir bagi pembangunan negara. Intipati pelan tersebut ialah bagi mewujudkan sistem pengajian tinggi yang mampu melahirkan modal insan yang berkualiti, berdaya saing secara global serta memenuhi keperluan negara. Ia juga memberi perhatian kepada peluang kerjaya impian bagi mengelakkan pengangguran dan bersifat lebih fleksibel untuk berhadapan dengan perubahan ekonomi dan peluang pekerjaan di masa hadapan.

38. Untuk memastikan blueprint ini diterjemahkan sebaik mungkin, setiap IPT perlu menjadikannya sebagai satu panduan dalam memastikan kurikulum yang ditawarkan di IPT sentiasa selari dengan perkembangan dan keperluan pelbagai pihak termasuk industri. Inilah masa yang tepat untuk semua kepimpinan IPT melihat kembali program akademik sedia ada dan menyesuaikannya bagi membolehkan semua atribut kebolehpasaran graduan digembleng secara bersepadu. Program-program baharu pula perlu dibangunkan dengan mengambil kira kerelevanan ilmu untuk dimanfaatkan oleh industri dan masyarakat dan sebaik-baiknya, dibangunkan bersama-sama mereka dalam konteks perkongsian strategik.

39. Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi telah memperkenalkan Pusat Kecemerlangan Industri atau ICoE sebagai satu mekanisme yang menghubungkan pengajian dengan pekerjaan, di mana industri bekerjasama dengan penyedia pendidikan agar pelajar diterap dengan kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan. Selain itu, untuk memantapkan lagi perkongsian strategik antara universiti dan industri, program ICoE sedia ada dalam kluster automotif, minyak dan gas, elektrik dan elektronik serta pemborongan dan peruncitan akan diperluaskan lagi pada tahun ini kepada tiga kluster baharu seperti bioteknologi, pembinaan dan ICT, menjadikan tujuh kluster secara keseluruhannya.

Selain daripada kerjasama antara Institusi Pengajian Tinggi, agensi-agensi kerajaan lain dan industri, transformasi kebolehpasaran graduan melalui ICoE ini juga akan melibatkan pembangunan wilayah ekonomi seperti Wilayah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

40. Kita percaya melalui pelaksanaan ini, pembangunan modal insan yang lebih kompeten mengikut keperluan industri dan wilayah akan dapat disediakan dengan lebih berstruktur dan tersusun. Pada masa yang sama, ia akan juga merangsang pelaburan asing, pembangunan ekonomi wilayah membantu peningkatan sosio-ekonomi masyarakat setempat dan seterusnya negara.

41. Persaingan pada abad ke-21 bukan hanya terletak kepada kejayaan akademik semata-mata tetapi menuntut kejayaan dalam aspek yang lebih besar terutama keupayaan berfikir secara inovatif dan kreatif di kalangan pelajar kita. Sehubungan dengan itu, mahasiswa di IPT perlu dibangunkan dengan kemahiran berfikir secara inovatif dan kreatif melalui program-program pembangunan potensi dan bakat diri dan ini termasuk Kursus Ko-Kurikulum Berkredit.

Walau bagaimanpun, kita mendapati kursus-kursus Ko-Kurikulum yang ditawarkan di IPT adalah terpisah dan tidak ada hubung kait dengan pembelajaran. Ini menyebabkan pelajar-pelajar tidak dapat mengaplikasikan hasil pembelajaran di luar bilik kuliah. Justeru itu, ko-kurikulum perlu menghubungkan pelajar dengan proses pembelajaran secara langsung dan oleh itu, sudah tiba masanya ia diletakkan di bawah Pusat Pengajian masing-masing.

42. Apabila kerajaan memperkenalkan IM4U, kementerian menyambut baik langkah ini kerana ia memberi peluang kepada kita menjadikannya sebagai platform atau kaedah pembelajaran menggunakan pendekatan baharu. Lebih penting, IM4U boleh mencapai matlamat membangunkan kemahiran insaniah pelajar dan nilai-nilai positif seperti kepimpinan, kesukarelawanan dan kewarganegaraan di samping kemampuan mengemukakan idea-idea kreatif.

Melalui penggabungan khidmat komuniti dengan kurikulum, IM4U juga menambah pengalaman belajar pelajar dan memperteguhkan tanggungjawab sivik kepada masyarakat melalui keupayaan menyelesaikan masalah sebenar masyarakat sekaligus menjadikan mereka sebagai rakyat yang menyumbang kepada pembangunan Malaysia. Kewujudan IM4U Outreach di setiap IPT memberi cabaran berterusan kepada pelajar-pelajar IPT untuk bangunkan keupayaan menyediakan aktiviti-aktiviti yang lebih kreatif, yang mempunyai impak yang lebih mendalam, yang dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan bersifat lestari. Saya percaya pelajar-pelajar IPT negara dapat menyahut cabaran ini.

43. Kementerian juga akan terus mendokong agenda pendidikan dan pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar IPTA khususnya. Bagi memastikan matlamat Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (DPKIPT) tercapai, Pelan Tindakan Keusahawanan IPT yang komprehensif dan pragmatik bagi tempoh 2013-2015 akan diperkenalkan pada tahun ini. Pelan ini menjadi satu kesinambungan kepada Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT yang telah dilancarkan pada tahun 2010 yang lalu.

Saya percaya bahawa perancangan yang tersusun serta pelaksanaan yang komited terhadap pelan tindakan ini akan dapat menyokong pencapaian matlamat untuk melahirkan modal insan negara yang berkualiti dan berdaya keusahawanan di samping meningkatkan lagi jumlah usahawan di kalangan graduan IPT.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KELIMA: PEMETAAN BAHARU PENGANTARABANGSAAN

44. Dalam era globalisasi, liberalisasi dan pendidikan merentasi negara, strategi pengantarabangsaan pengajian tinggi tidak lagi bersifat satu keistimewaan tetapi satu keperluan negara yang ingin mencapai kejayaan dalam perkhidmatan pengajian tinggi. Malaysia yang berhasrat untuk menjadi hab kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa menjelang tahun 2020, perlu menjadikan strategi pengantarabangsaan sebagai satu agenda penting lagi kritikal.

Pencapaian dan pengalaman Malaysia dalam sektor pengajian tinggi sekali lagi diiktiraf dunia apabila pada tahun ini diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Persidangan Menteri-menteri Pendidikan Asia Eropah ke-4 atau "Fourth Asia-Europe Meeting of Ministers for Education" (ASEMME4) dari 12 hingga 14 Mei 2013 akan datang di Kuala Lumpur.

Sebanyak 27 buah negara anggota Kesatuan Eropah, 16 buah negara Asia dan 3 buah anggota baharu iaitu Rusia, Australia dan New Zealand akan dijemput untuk menghadiri ASEMME4. Mulai 15 Februari ini, Education Malaysia Global Services (EMGS) yang ditubuhkan tahun lalu akan mula beroperasi dan akan berperanan sebagai pusat sehenti bagi memantau, menyelia dan menyelaras urusan berkaitan promosi, pemasaran dan perkhidmatan sokongan pelajar antarabangsa dalam negara.

45. Malaysia akan terus meningkatkan inisiatif pengantarabangsaan dengan strategi-strategi inovatif dan kreatif supaya mampu bersaing dalam penyediaan dan pelaksanaan perkhidmatan pengantarabangsaan yang efisien, berkesan dan produktif. Dalam hal ini, pengantarabangsaan tidak lagi terhad kepada faktor jumlah pelajar antarabangsa atau bilangan kampus cawangan luar negara tetapi penekanan terhadap strategi pengintegrasian pengantarabangsaan dalam pelbagai perkhidmatan pengajian tinggi.

Perkembangan ini menuntut kita untuk melakukan pemetaan baharu dengan memberi penekanan kepada kesepaduan kecemerlangan dalam semua aspek perkhidmatan pengajian tinggi. Ini termasuk kecemerlangan akademik, kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, kecemerlangan pembangunan, penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan dan kecemerlangan kepimpinan pengajian tinggi.

46. Dalam konteks ini, satu usaha yang boleh menyumbang hasrat mencapai matlamat kecemerlangan ini adalah melalui cadangan penubuhan konsortium di kalangan Institusi Pengajian Tinggi Islam Negara yang diterajui oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sebagai platform memperkasakan perkongsian pintar dalam aktiviti penyelidikan dan berkonsepkan ‘global classroom’ di kalangan IPT serantau dan negara OIC. Kementerian mengalu-alukan usaha murni ini kerana ia akan memperkasakan lagi perkhidmatan pengajian tinggi negara sekaligus mempromosikan Malaysia menjadi pemimpin kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat global.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Malaysia Pemacu Komuniti ASEAN)

47. Sempadan komuniti di ASEAN kini semakin kabur. Negara di rantau ini sepakat untuk mewujudkan “Komuniti ASEAN” menjelang 31 Disember 2015. Pada ketika itu, Malaysia akan diberi mandat mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN. Ini bermakna, kita diberi peluang mempelopori gagasan penubuhan Komuniti ASEAN yang bertunjangkan kepada penguasaan pengetahuan berasaskan penyelidikan, tenaga mahir, ekonomi hijau, masyarakat yang dilengkapi dengan maklumat yang tepat dan struktur institusi yang berdaya saing dan persekitaran yang lestari.

48. Oleh itu, ini adalah kesempatan terbaik IPT di Malaysia mengatur strategi dan mempromosi pengajian tinggi sebagai ejen perubahan bagi mewujudkan Komuniti ASEAN yang dinamik dan lestari. Sehingga 31 Disember 2012, terdapat seramai 14,156 orang pelajar dari negara ASEAN menyambung pengajian di Malaysia manakala 9,008 orang pelajar Malaysia di negara ASEAN. Sebagai negara pembekal pengajian tinggi yang berkualiti di rantau ini, Malaysia berupaya memberi sumbangan dalam pelbagai dimensi untuk mencapai matlamat Komuniti ASEAN 2015.

Sebagai contohnya Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah membangunkan pendekatan kelestarian untuk pendidikan dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) di UKM yang menerajui penyelidikan sains kelestarian boleh menjadi pemangkin kepada sumbangan negara ke arah pembentukan Komuniti ASEAN yang dicita-citakan.

49. Pada peringkat pendidikan latihan dan kemahiran pula, Malaysia boleh membantu dalam melatih dan membentuk tenaga mahir dalam kalangan negara ASEAN melalui politeknik dan kolej komuniti. Institusi ini boleh membentuk kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam Komuniti ASEAN melalui pertukaran pengetahuan dan personel, melalui proses rakan kongsi, kontrak penyelidikan, program latihan dan pendidikan sepanjang hayat. Ini dapat merapatkan perhubungan antara institusi-institusi dalam Komuniti ASEAN dan pada masa yang sama membantu mentrasformasikan sistem pendidikan Komuniti ASEAN sekaligus membentuk kesepaduan antara negara.

50. Peranan Malaysia dalam agenda Komuniti ASEAN ini akan diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan agenda Jangkauan Global Malaysia (JGM). Setelah memulakan inisiatif jangkauan ini di negara CLMV iaitu Cambodia, Laos, Myanmar dan Vietnam, bagi tahun 2013 hingga 2015, ia diperluaskan lagi dengan menambah negara rakan terpilih seperti Mindanao, Filipina, Timor Leste dan Papua New Guinea. Dalam hal ini, satu cadangan pelan rangka kerja program pembangunan sumber daya manusia untuk Mindanao akan disediakan oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).

51. Pelan program pembangunan sumber daya manusia ini boleh diintegrasikan sebagai salah satu agenda pembangunan keseluruhanMindanao yang akan diselia oleh Jawatankuasa Khas Filipina-Malaysia yang telah dipersetujui penubuhannya oleh kedua-dua negara bagi menyelia proses damai dan pembangunan di Mindanao. Program ini juga boleh diaplikasikan kepada negara lain dengan tujuan yang sama, Insya Allah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

KEENAM: PENDIDIKAN UNTUK SEMUA

52. Transformasi tersusun Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 memerlukan sumbangan dan potensi seluruh rakyat Malaysia sama ada yang berpengetahuan tinggi atau berkemahiran tinggi. Melalui ilmu pengetahuan dan kemahiranlah, rakyat kita bukan sahaja akan dapat meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka, tetapi membantu negara bersaing dalam dunia global yang semakin kompetitif. Sehubungan dengan itu, usaha untuk meningkatkan minat belajar tanpa henti dan pendidikan untuk semua di kalangan rakyat hendaklah dipertingkatkan lagi.

53. Pembelajaran Sepanjang Hayat yang telah dinobatkan sebagai tonggak ketiga dalam sistem pembangunan sumber manusia di negara ini seiring dengan Sistem Persekolahan dan Pendidikan Tertiari, akan terus diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan Direktori Interaktif PSH peringkat nasional, menjayakan Karnival My3L peringkat nasional dan peringkat zon, menjalankan kajian Pemantapan Program PSH dan mengadakan Pelan Tindakan Penggalakan Penyertaan Industri dalam PSH.

54. Seperti yang kita sedia maklum, pada tahun lepas, Malaysia Qualification Agency (MQA) telah menubuhkan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL). Bagi menggalakkan lebih ramai golongan yang telah bekerja menyambung pengajian, sukacita dimaklumkan bahawa permohonan APEL bagi maksud kemasukan pengajian peringkat Sijil dan Diploma akan mula dibuka mulai 1 Februari 2013. Inisiatif ini pastinya akan memikat golongan bekerja untuk belajar semula apabila APEL mengiktiraf pengalaman kerja mereka sebelum ini dan boleh diambil kira sebagai syarat untuk menyambung pengajian di peringkat Sijil dan Diploma.

55. Sebagai sebuah institusi perdana yang menjayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di negara, Kolej Komuniti memainkan peranan penting dalam menawarkan latihan dan kemahiran kepada orang ramai. Oleh itu, kementerian ingin mengumumkan bahawa sesiapa sahaja boleh melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti hanya dengan kelulusan minima satu kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

56. Pada masa yang sama, beberapa inisiatif baharu telah dikenalpasti akan dilaksanakan dalam usaha menambah penyertaan masyarakat seperti memendekkan tempoh pengajian untuk Sijil Kolej Komuniti (SKK) Terusan atau Jangka Panjang dari 24 bulan kepada minimum 16 bulan. Jumlah sijil yang ditawarkan juga telah ditambah daripada empat pada tahun lalu kepada 11 pada tahun 2013. Selain Sijil Kolej Komuniti Terusan dan Modular, Sijil Kolej Komuniti Kemahiran Khas turut dilaksanakan khusus kepada pelajar yang mengalami masalah pembelajaran seperti pekak dan bisu.

Jika sebelum ini hanya Kolej Komuniti Selayang menawarkan Sijil Kemahiran Khas dalam bidang perkhidmatan perhotelan, pada tahun 2013, lima buah Kolej Komuniti lagi akan terlibat menawarkan Sijil Kemahiran Khas ini dalam bidang-bidang seperti teknologi maklumat, fotografi, fesyen dan pakaian, pemprosesan makanan dan pastri.

57. Selain melebarkan akses, soal ekuiti turut diambil perhatian. Sehubungan dengan itu, bantuan Kewangan Kolej Komuniti ditawarkan kepada mereka yang layak melalui Tabung Pinjaman Pelajar (TPP). Bagi Sijil Kolej Komuniti Terusan, pelajar boleh menerima bantuan tiga ratus ringgit sebulan iaitu bagi mereka yang berasal daripada keluarga yang berpendapatan kurang tiga ribu ringgit sebulan manakala dalambentuk pinjaman pada kadar yang sama bagi pelajar yang pendapatan keluarganya melebihi tiga ribu ringgit sebulan. Bagi pelajar Sijil Kolej Komuniti Modular pula, mereka boleh memohon wang saku sebanyak dua ratus lima puluh ringgit sebulan jika layak.

58. Baru-baru ini, sewaktu merasmikan Karnival Jom Masuk U, saya telah mengumumkan pengambilan pelajar mod baharu melalui dasar membantu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah. Kaedah pengambilan pelajar yang diberikan pengecualian meritokrasi ini selari dengan prinsip kerajaan dan kementerian untuk melihat semua rakyat Malaysia mendapat hak berpendidikan tanpa halangan.

Dalam hal ini, kejayaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) mewujudkan program Pra Universiti iaitu Program Destini Anak Bangsa, boleh dijayakan oleh IPT yang lain dalam membantu kemasukan pelajar kaum-kaum lain. Ini kerana dalam usaha kita mencapai negara maju berpendapatan tinggi, semua kaum perlu menjadi modal insan untuk negara.

59. Dalam usaha kita melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, kita tidak boleh lari dari menyentuh soal pembiayaan sektor pengajian tinggi. Keupayaan negara menyediakan akses dalam pembelajaran di peringkat tertiari mahupun pembelajaran sepanjang hayat memerlukan kita memikirkan semula model pembiayaan pendidikan yang lestari dan berkesan. Adalah kesalahfahaman yang nyata bila isu pembiayaan pengajian tinggi hanya dilihat dari sudut Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pembiayaan pelajar.

Isu yang paling mendasar ialah bagaimana IPT awam menguruskan pelaburan dan pembiayaan kerajaan secara berkesan serta mampu menterjemahkan hasil yang memenuhi keperluan strategik negara.

60. Kebergantungan IPT yang keterlaluan pada dana kerajaan sebenarnya telah mewujudkan fenomena pengurusan kewangan di IPT yang tidak ‘cost efficient’ dan kegagalan untuk menjadi mandiri serta tidak kompetitif. PTPTN pula memerlukan model kelangsungan baharu untuk memastikan ia terus lestari tanpa mengabaikan kepentingan menterjemahkan dasar ekuiti dalam pendidikan. Oleh itu, kementerian telah menganjurkan inisiatif bagi menyemak dan mengkaji semula sistem pembiayaan pendidikan tinggi secara komprehensif dalam usaha mewujudkan model pembiayaan yang lestari dan kompetitif sifatnya bagi menyokong pembangunan strategik negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

(Budaya Kerja Berinovatif)

61. Kecemerlangan pengajian tinggi turut dibantu oleh sistem penyampaian dan budaya kerja yang inovatif lagi berkesan. Dalam hal ini, fungsi kementerian telah beralih daripada memberikan penekanan terhadap kawal selia undang-undang (regulator) kepada fungsi pemudahcara (facilitator). Ini bagi memastikan persekitaran pengajian tinggi yang lebih kondusif dapat diwujudkan untuk perkembangan dan kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan yang seharusnya berasaskan kepada budaya keintelektualan dan keilmuan yang tinggi tanpa sebarang pengaruh politik dan birokrasi pentadbiran.

Dalam memainkan peranan sebagai pemudahcara ini, kementerian seharusnya bijak untuk sentiasa melihat amalan-amalan terbaik yang terdapat di sesebuah institusi untuk dipanjangkan pengamalannya ke institusi-institusi lain. Penekanan tidak seharusnya terhad kepada aspek pembelajaran dan pengajaran atau penyelidikan sahaja, tetapi fokus juga wajar diberikan kepada hal-hal yang melibatkan pentadbiran supaya isu-isu birokrasi yang sedia wujud dapat dikurangkan.

62. Saya juga ingin meletakkan harapan supaya tahun 2013 ini lebih banyak aspek nilai untuk wang dalam pengurusan kewangan universiti sebagai sebuah badan berkanun dapat dipertingkatkan. Ini boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah termasuklah melalui perolehan berpusat di kementerian bagi sesetengah perkhidmatan seperti yang telah sedia dilaksanakan sekarang antaranya perolehan perisian untuk komputer, pangkalan data komersil untuk perpustakaan dan lain-lain lagi.

Ini bagi memastikan terdapat penjimatan dalam pengurusan wang awam bila mana sesuatu perkhidmatan tersebut dapat dibeli pada kadar harga yang lebih rendah melalui kaedah pukal berbanding secara individu oleh universiti, politeknik dan kolej komuniti. Saya juga ingin menyarankan supaya perancangan-perancangan projek pembangunan di universiti-universiti awam juga mengambil kira aspek nilai untuk wang dengan memperbanyakkan kemudahan-kemudahan yang bersifat guna sama seperti dewan kuliah dan bilik tutorial supaya ia dapat dimanfaatkan secara lebih maksimum berbanding pembangunan fizikal yang bersifat faculty-based sahaja.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

PENUTUP

63. Globalisasi telah menjadikan persaingan semakin kompetitif dan negara perlu meningkatkan daya saingnya agar tidak ketinggalan. Masa depan pendidikan tinggi Malaysia bukan lagi tentang retorik nasionalisme dan pembangunan modal insan. Ia adalah tentang bagaimana pengajian tinggi akan mampu mendukung daya saing Malaysia dalam mendepani impak globalisasi.

Malaysia yang maju dan progresif adalah Malaysia yang berupaya menjadikan sistem pengajian tingginya sebagai instrumen dan sumber utama untuk membolehkan ia membina, mengukuh dan melonjakkan daya saing bangsa dan negara di peringkat global. Sistem pengajian tinggi yang berupaya melonjakkan kebolehsaingan Malaysia akan pasti menjadikan negara dan bangsa kita lebih ‘resilient’ atau kental.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

64. Tidak ada kejayaan melainkan pada tahap kecemerlangan. Sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya berharap semua institusi di bawah kementerian dapat memperteguhkan kedudukan mereka menjadi institusi yang cemerlang dan berwibawa. Dalam hal yang sama, kementerian berasa bangga dengan kejayaan atlit IPT mengungguli Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Laos tahun lalu.

Tahniah dan syabas diucapkan. Namun, jika sukan kita boleh cemerlang dan diiktiraf dunia, maka tidak ada sebab pengajaran, penyelidikan dan inovasi serta khidmat masyarakat kita tidak cemerlang dan diterima global. Kita mesti memahami agenda teras yang perlu dimainkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebagai penyumbang kritikal kepada pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.

65. Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan berbanyak terima kasih kepada semua warga kementerian yang hadir dan mendengar amanat tahun baharu ini. Amanat yang mempunyai lapan agenda dan 44 Pernyataan Dasar, Inisiatif dan Perubahan Struktural ini bukan milik saya, tetapi milik kita bersama untukmenjayakannya. Kini, kita hanya mempunyai tujuh tahun lagi sebelum fajar tahun 2020 terbit sekaligus melihat Malaysia gah muncul menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Berbekalkan perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang teliti, kita boleh merealisasikan semua hasrat dan impian yang kita tentukan ini, Insya Allah.

66. Saya berdoa agar tahun 2013 memberikan kita lebih kebahagiaan dan kemakmuran. Bersama kita terus beriltizam mencarta pembangunan dan kemajuan negara. Ayuh, terus kita melangkah ke hadapan dengan satu tujuan, satu destinasi, Malaysia yang berjaya. Sekian, terima kasih.

- MSTAR

Selasa, 29 Januari 2013

Jawatan Kosong di Lembaga Tabung Haji (TH) - Feb 2013

JAWATAN:
- Eksekutif Pentadbiran (SPP3)
- Eksekutif Pembangunan Insan (SPP3)

IKLAN JAWATAN DAN CARA MEMOHON:
http://www.tabunghaji.gov.my/web/guest/jawatan-kosong;jsessionid=A04531B716364FC8E118A29A7E55DE0F

Tarikh Tutup: 6 Februari 2013


Jawatan Kosong di Lembaga Koko Malaysia - Feb 2013

JAWATAN:
1. PEMBANTU PENYELIDIK (Pusat Inovasi & Teknologi Koko, Nilai)
2. PEMANDU KENDERAAN (Ibu Pejabat, Kota Kinabalu)

IKLAN JAWATAN DAN CARA MEMOHON:
http://www.koko.gov.my/lkm/getfile.asp?id=3567

Tarikh Tutup: 15 Februari 2013


Jawatan Kosong di Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Pahang - Jan 2013

JAWATAN:
1. Penolong Pegawai Tadbir N27
2. Pembantu Tadbir N17
3. Pekerja Awam R1

IKLAN JAWATAN:
http://www.lkpp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=12&Itemid=41

BORANG PERMOHONAN:
http://www.lkpp.gov.my/BrgJwt.xls

Tarikh Tutup: 8 Februari 2013

Jawatan Kosong di Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) - Jan 2013

JAWATAN:
1. Pegawai Tadbir
2. Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi
3. Pembantu Tadbir (Kewangan)
4. Juruteknik Komputer
5. Pembantu Penyelidik

IKLAN JAWATAN:
http://www.mtib.gov.my/index.php?option=com_phocadownload&view=category&id=15&download=711&lang=bm

BORANG PERMOHONAN:
http://www.mtib.gov.my/index.php?option=com_phocadownload&view=category&id=15&download=709&lang=bm

Tarikh Tutup: 3 Februari 2013

Jawatan Kosong di Kerajaan Negeri Sarawak - Jan 2013

JAWATAN:
1. ArkitekGred J41
2. Pegawai Penilaian
3. Penolong Akauntan
4. Pembantu Pegawai Latihan Vokasional
5. Pembantu Syariah
6. Pembantu Perikanan
7. Pembantu Veterinar
8. Pembantu Pertanian
9. Pembantu Hidupan Liar
10.Juruteknik (Letrik)
11.Pembantu Penyelidik
12.Pembantu Penilaian
13.Pembantu Penguatkuasa
14.Juruteknik (Awam)
15.Pembantu Am Rendah
16.Pemandu Kenderaan Bermotor
17.Pekerja Awam
18.Tukang K3 (Tukang Kayu)
19.Pembantu Kesihatan Awam
20.Tukang K3 (Tukang Paip)
21.Pengawal Keselamatan

IKLAN JAWATAN DAN BORANG PERMOHONAN ONLINE:
http://erecruitment.sarawak.gov.my/eRecruitment3_public/Announcement.jsp

Tarikh Tutup: 1 Februari 2013

Jawatan Kosong di Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Perak - Jan 2013

JAWATAN:
1. PEGAWAI TADBIR N41
2. PEGAWAI PERANCANG BANDAR & DESA J41
3. PENOLONG AKAUNTAN W27
4. PENOLONG JURUAUDIT W27

IKLAN JAWATAN:
http://www.mpti.gov.my/web/guest/jawatan-kosong

BORANG PERMOHONAN:
http://www.mpti.gov.my/web/guest/muat-turun-borang/-/document_library/view/33472

Tarikh Tutup: 4 Februari 2013

Jawatan Kosong di Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) - Jan 2013

JAWATAN:
1. Pegawai Veterinar Gred G41
2. Pembantu Kesihatan Awam Gred U17
3. Pemandu Kenderaan Gred R3
4. Pekerja Awam Gred R1

IKLAN JAWATAN:
http://mpk.terengganu.gov.my/web/guest/peluangpekerjaan

BORANG PERMOHONAN ONLINE:
http://kerjaya.mpkemaman.gov.my/

Tarikh Tutup: 3 Februari 2013

Jawatan Kosong di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) - Jan 2013

JAWATAN:
1. JURUTEKNIK KOMPUTER (FT17)
2. PEGAWAI KHIDMAT PELANGGAN (N17)
3. JURURAWAT PERGIGIAN (U32)
4. JURURAWAT PERGIGIAN (U29)
5. PEMBANTU TADBIR (PERKERANIAN & OPERASI) (N17)
6. JURURAWAT PERGIGIAN (U36)
7. PEGAWAI UNDANG-UNDANG (L41)
8. PEGAWAI UNDANG-UNDANG (L48)
9. PEGAWAI PSIKOLOGI (S41)

IKLAN JAWATAN:
http://eiris3.usim.edu.my:8080/eiris/index.jsp?page=viewJawatan&jnsJwtn=2

BORANG PERMOHONAN ONLINE:
http://www.usim.edu.my
(Klik ke e-IRIS)

Tarikh Tutup: 2 Februari 2013

Jawatan Kosong di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) - Jan 2013

JAWATAN:
- Pekerja Sambilan Harian (PSH)

Waktu bekerja: Waktu bekerja yang terpakai kepada pegawai awam.

Gaji: RM54.00 sehari (Kelayakan: SPM), RM72.00 sehari (Kelayakan: STPM/Diploma), RM100.00 sehari (Kelayakan: Ijazah Sarjana Muda), KWSP dan Elaun Perjalanan.

KELAYAKAN/KELULUSAN

1.  Minimum SPM/STPM/Diploma/Ijazah Sarjana Muda atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan dan hendaklah memiliki kepujian dalam subjek Bahasa Melayu dan lulus Bahasa Inggeris.

2. Boleh menulis dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan baik.

3. Mempunyai kemahiran dalam Microsoft Word dan Microsoft Excel yang baik.

4. Boleh bekerja di luar pejabat.

CARA MEMOHON

Sila hantar resume kepada Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi, Kementerian Pelajaran Malaysia, Blok 4803, Suite 0-2, Bangunan CBD Perdana, Off Persiaran Multimedia, 6300, Cyberjaya, Selangor (u.p: Encik Maswadi Bin Mohamat. Emel: maswadi.mohamat@moe.gov.my)

Tarikh Tutup : 31 Januari 2013

http://www.moe.gov.my/bppk/index.php/tawaran-jawatan-kosong/233-tawaran-pekerja-sambilan-harian-psh

Buaya tembaga 300kg terperangkap dalam sangkar


KUCHING - Beberapa pekerja ladang di rumah rehat Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Kampung Selang, Jalan Telaga Air di Kuching gempar apabila menemui buaya seberat 300 kilogram (kg).

Kehadiran buaya tembaga sepanjang lima meter di muara Sungai Teruntum itu dipercayai haiwan yang sama membaham haiwan peliharaan mereka sebelum ini.

Kejadian disedari salah seorang pekerja ladang, Johari Resal, 63, yang turun meninjau sangkar milik Sarawak Forestry Corporation (SFC) di sungai itu pukul 7 pagi ini.

Katanya, dia mulai mencurigai sesuatu selepas mendengar bunyi salakan anjing yang agak kuat pada malam sebelum itu.

“Ketika turun ke pokok bakau ini, saya mulai perasan terdapat seekor buaya terperangkap di dalam sangkar tersebut.

“Saya segera menghubungi pihak SFC selepas mendapati kepala buaya tersebut terkeluar dari sangkar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar SFC, Oswald Braken Tisen berkata, ketika anggotanya tiba di tempat kejadian, mereka mendapati buaya tersebut cuba melepaskan diri dengan menggigit sangkar.

Bagaimanapun, katanya, buaya itu gagal melepaskan diri apabila pihaknya berjaya menarik sangkar tersebut ke darat bagi menghalang reptilia tersebut daripada mengganas.

“SFC memang meletakkan sangkar khas sepanjang empat meter dengan umpan bangkai ayam di sungai ini selepas menerima aduan reptilia tersebut sering naik ke darat dan memakan haiwan peliharaan.

“November lalu pihak SFC berjaya menangkap seekor buaya, namun buaya yang ditangkap hari ini adalah yang terbesar pernah ditangkap di sungai ini dan akan dipindahkan ke Matang Wildlife pagi esok," katanya.

Tambahnya, sungai tersebut merupakan habitat utama reptilia itu kerana dihubungkan dengan sungai di Santubong, Bako dan Taman Negara Kuching.

Katanya, pihaknya akan meletakkan semula sangkar tersebut di sungai itu kerana tinjauan sebelum ini mendapati masih terdapat sekurang-kurangnya tiga ekor buaya bersaiz besar di sungai berkenaan.

Tangkapan tersebut turut dimaklumkan kepada Tun Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Norkiah Abdullah yang kemudian turun ke tempat kejadian, pukul 4.20 petang.

- UTUSAN

Skim biaya mikro penjaja kini dibuka

Kira-kira 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara kini boleh memohon Skim Pembiayaan Mikro Untuk Penjaja dan Peniaga Kecil yang disalur melalui Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.
  
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata skim itu yang dikendalikan Bank Rakyat, menyediakan pembiayaan dari RM1,000 hingga RM50,000 bagi tujuan modal kerja atau modal pusingan serta pembelian peralatan.
  
"Skim ini memberi keutamaan kepada peserta yang menjalankan perniagaan Menu Rakyat 1Malaysia di mana permohonan mereka akan didahului berbanding mereka yang menjalankan perniagaan lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penjaja 1Malaysia di Temerloh.
  
Katanya bagi yang berminat, mereka boleh mengisi borang yang disediakan di semua cawangan Bank Rakyat dan dilampir salinan kad pengenalan serta salinan pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
  
"Bagi permohonan yang lengkap, proses kelulusan akan mengambil masa antara lima hingga 10 hari sahaja," katanya menambah kerajaan memperuntukkan RM50 juta menerusi skim itu.

Ismail Sabri berkata antara syarat permohonan skim itu ialah warganegara Malaysia, berumur 18 hingga 60 tahun, berdaftar dengan SSM di Semenanjung dan pihak berkuasa tempatan bagi Sabah dan Sarawak serta berniaga sepenuh masa.
  
Antara keistimewaan skim itu ialah penerima tidak dikenakan faedah atau memerlukan cagaran, dikecualikan daripada semakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat dan Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) serta tempoh bayaran balik antara lima dan sembilan tahun.
  
Sementara itu, pada majlis penutup Karnival Hospitaliti Kepenggunaan di Kampung Paya Serai, Bera dekat sini, Ismail Sabri menasihati orang ramai supaya menyemak kesahihan skimm pelaburan dengan SSM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
  
Katanya orang ramai boleh mendapatkan maklumat lengkap termasuk senarai syarikat yang menawarkan Skim Berkepentingan Khas (SIS)) dengan melayari laman web SSM di : www.ssm.com.my.
  
"Penduduk luar bandar terutamanya perlu berbuat demikian kerana mereka adalah kumpulan sasar syarikat sedemikian dengan menawarkan pulangan pendapatan lumayan dalam masa singkat.
  
"Setakat ini, hanya 188 syarikat yang mendapat kelulusan SSM untuk menawarkan pelaburan dalam projek yang mereka laksanakan menerusi SIS," katanya.
  
Ismail Sabri turut menasihatkan orang ramai yang sudah melabur dalam syarikat yang tidak disenaraikan dalam laman web SSM menarik menarik balik pelaburan mereka dan melaporkannya kepada suruhanjaya berkenaan. 

- BERNAMA

BN Youth Job Fair 2013 di Kedah, Terengganu, Sabah dan Kuala Lumpur

Pemuda Barisan Nasional (BN) akan meneruskan penganjuran BN Youth Job Fair di empat lokasi terpilih pada tahun 2013 ini berikutan sambutan hangat yang diterima pada setiap penganjuran sebelum ini.
  
Pengerusi Sekretariat BN Youth Job Fair Nazir Hussin Akhtar Hussin dalam satu kenyataan berkata karnival kerjaya itu akan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Star, Kedah pada 31 Januari hingga 1 Februari 2013 ini.
  
Lokasi kedua ialah Dewan Millenium di Terengganu Trade Centre pada 22 dan 23 Februari diikuti Dewan Masyarakat Tawau, Sabah pada 2 hingga 3 Mac dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur bagi menutup tirai 2013.
  
"Para graduan yang masih tercari-cari peluang pekerjaan mahupun yang sudah bekerja dijemput ke karnival kerjaya sepanjang tahun ini," katanya.
  
Majikan yang berminat untuk memeriahkan karnival itu boleh menghubungi pihak sekretariat dengan melayari laman sesawang www.bnyouthjobfair.my.
  
Nazir Hussin juga berkata sokongan pihak majikan memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi negara.
  
BN Youth Job Fair 2012 yang berlangsung di PWTC November lepas menerima sambutan sangat menggalakkan apabila berjaya menarik 120,000 pengunjung dengan lebih 100,000 resume diterima. 

- BERNAMA

Cara betul penggunaan awalan ter-

Awalan ter- ialah awalan asli bahasa Melayu. Awalan ter- ini dapat digabungkan dengan kata dasar daripada pelbagai golongan kata utama (kata nama, kata kerja dan kata adjektif) bagi membentuk kata kerja terbitan.

Misalnya, daripada kata nama buku, dayung, nama, paku dan pelajar terbitlah kata kerja terbuku, terdayung, ternama, terpaku, dan terpelajar. Daripada kata kerja transitif ambil, beli, makan, pukul dan suruh lahir kata kerja terambil, terbeli, termakan, terpukul, dan tersuruh. Kemudian, daripada golongan kata kerja tak transitif baring, duduk, diam, jatuh dan sandar, terbit kata kerja terbaring, terduduk, terdiam, terjatuh dan tersandar.

Daripada kata adjektif baik, cantik, masyhur, pandai dan tinggi, terbit kata kerja terbaik, tercantik, termasyhur, terpandai, dan tertinggi.

Kata kerja (KK) dengan awalan ter- terdiri daripada dua jenis, iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Kata kerja transitif itu pula terbahagi kepada dua bentuk lagi, iaitu kata kerja transitif aktif, dan kata kerja transitif pasif.

Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang diikuti oleh objek atau penyambut, dan objek atau penyambut itu hendaklah terdiri daripada frasa nama.

Peraturan ini samalah seperti objek yang mengikuti kata kerja transitif aktif berawalan me-. Perhatikan ayat-ayat yang berikut ini:

1. Ruslan terbaca buku yang tebal itu.

2. Adik termakan lauk yang pedas ini.

3. Ramlah membaca majalah Dewan Siswa.

4. Pembinaan pangsapuri itu telah memakan masa dua tahun.

Kata-kata buku dan lauk dalam ayat 1 dan 2 ialah objek kata kerja terbaca dan termakan, sementara Dewan Siswa dan masa satu tahun dalam ayat 3 dan 4 ialah objek kata kerja berawalan me-, iaitu memakan dan membaca. Semua objek yang berkenaan terdiri daripada frasa nama belaka.

Demikianlah persamaan yang terdapat antara kata kerja transitif aktif berawalan ter- dengan kata kerja transitif aktif berawalan me-.

Dalam bahasa Melayu juga, ada kata kerja yang terhasil daripada gabungan kata dasar dengan imbuhan ter- berfungsi sebagai kata kerja ayat pasif.

Contoh:

5. Kulit pisang itu terpijak oleh Razid.

6. Pasukan bola baling sekolah tertewas oleh pasukan pelawat.

Dalam ayat-ayat di atas, unsur pasif dinyatakan melalui struktur kata kerja berawalan tertewas oleh pasukan pelawat.

Dalam ayat pasif ini, struktur oleh + frasa nama membawa maksud pelengkap pelaku, iaitu yang menerima akibat sesuatu perbuatan.

Kadang-kadang seluruh struktur oleh + frasa nama digugurkan, meninggalkan susunan ayat dengan kata kerja berawalan ter- sahaja, tetapi disedari bermaksud pasifnya kerana makna yang tergambar, iaitu yang sedia dan telah sempurna jadinya. Contoh:

7. Pakaian seragam itu terpakai di sekolah kami.

Berasal daripada ayat “Pakaian seragam itu terpakai oleh kami di sekolah kami."

Kata kerja tak transitif dengan awalan ter- pula ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek atau penyambut sesudahnya, tetapi dapat diikuti oleh pelengkap. Contoh:

8. Mohamad terduduk setelah mendengar berita itu.

9. Pekerja kontrak itu tersandar di tiang bangunan.

10. Murid-murid terdiam apabila dimarahi pengetua.

Ungkapan setelah mendengar berita itu (ayat 8), di tiang bangunan (ayat 9), dan apabila dimarahi pengetua (ayat 10) ialah pelengkap kepada kata kerja terduduk, tersandar dan terdiam.

Demikianlah huraian tentang awalan ter- dalam bahasa Melayu yang membentuk kata kerja terbitan. Anda harus berhati-hati sewaktu menggunakan ayat yang berawalan ter- kerana adakalanya ayat itu berbentuk aktif, dan ada ketikanya pula berbentuk pasif.

- UTUSAN

Harga emas 2013 dijangka cecah AS1,800 seaun

Harga emas dijangka meningkat mencecah AS$1,800 seaun tahun 2013 ini, naik lapan peratus daripada harga semasanya selepas berlegar dalam paras AS$1,600 hingga AS$1,700 sejak 2011, kata ahli urus niaga emas tempatan.

Unjuran peningkatan itu, kata mereka bersandarkan permintaan kukuh emas sebagai alat pelaburan jangka panjang dan pelindung inflasi, khususnya dari pasaran pengguna terbesar logam berharga itu iaitu di China dan India.
Harga emas meningkat kira-kira tujuh peratus tahun lalu, iaitu kenaikan untuk tahun ke-12 berturut-turut.

Aliran kenaikan itu antara yang paling lama berlaku bagi harga komoditi.

Emas mencecah rekod tertinggi sekitar AS$1,920 pada September 2011, apabila krisis hutang Eropah yang semakin buruk ketika itu mencetuskan belian besar-besaran.

Pengurus Pemasaran Poh Kong Holdings Bhd, Elizabeth Choon (gambar), berkata emas tetap menjadi antara alat pelaburan diminati dalam kalangan pelabur yang mahukan pulangan jangka panjang.

Pelabur termasuk di Malaysia, katanya, dijangka terus membeli jongkong dan siling emas sebagai satu bentuk opsyen pelaburan di samping membeli barang kemas untuk mendapatkan pulangan simpanan nilai akan datang.

Pelaburan jangka panjang

“Pelaburan emas adalah satu bentuk pelaburan jangka panjang. Memandangkan permintaan pasaran global terhadap emas lebih tinggi daripada bekalan, harganya dijangka menjadi lebih tinggi pada masa akan datang, termasuk tahun ini,” katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Poh Kong, peruncit barangan kemas dan produk emas senaraian awam terbesar di negara ini menghasilkan produk jenama sendiri menerusi kilang pengeluaran miliknya.

Antara jenama barangan kemas miliknya ialah Tranz, Anggun, Auspicious, Happy Love. Poh Kong juga mengeluarkan jongkong emas Bunga Raya.

Choon bagaimanapun berkata, pelabur yang berhasrat menjadikan emas sebagai opsyen pelaburan mesti melakukan kajian mendalam terhadap peranan logam berharga itu serta meneliti pergerakan harganya dari semasa ke semasa.

“Jika anda tidak mengetahui bagaimana pelaburan ini boleh menghasilkan pulangan, lebih baik jangan berbuat demikian,” katanya.


Tidak terlalu berisiko

Beliau menjelaskan, pelaburan emas adalah sesuai kepada pelabur yang kurang agresif dan tidak terlalu berisiko.

Katanya, emas juga terus kekal menjadi alat pelaburan lindung nilai kepada inflasi.

“Malah, emas yang dijadikan alat pelaburan itu boleh dipindahkan kepada generasi akan datang,” katanya sambil menambah 70 peratus permintaan emas dunia tahun ini dijangka masih lagi datang dari dua pasaran terbesarnya, China dan India.

Sementara itu, Pengarah Dana Runcit Bahagian Pengurusan Dana AMMB Holdings Bhd, Ng Chze How, berkata harga emas dunia dijangka melepasi paras AS$2,000 (RM6,158) seaun dalam tempoh dua tahun lagi disebabkan permintaan yang tinggi di kalangan pembeli dari Asia.

Beliau berkata, corak kenaikan harga emas dijangka terus positif untuk jangka masa panjang berdasarkan prestasi konsisten sepanjang dekad ini.

“Saya menjangkakan purata harga emas akan melebihi AS$1,800 (RM5,542) seaun dalam tempoh setahun dan melebihi AS$2,000 (RM6,158) seaun dalam tempoh 24 bulan,” katanya.

Bank pelaburan, HSBC Holdings Plc dalam nota penyelidikannya pula berkata, pasaran emas dijangka mencatat aliran lebih tinggi tahun ini berikutan asas bekalan/permintaan yang lebih positif.

- BERITA HARIAN

Ciri-ciri asas Skim Persaraan Swasta (PRS)

Oleh DATIN MAZNAH MAHBOB
Ketua Pegawai Eksekutif, Bahagian Pengurusan Dana AMMB Holdings Bhd.

Bagi pekerja swasta atau bekerja sendiri, memilih organisasi pengurusan Skim Persaraan Swasta (PRS) yang betul mungkin menjadi salah satu daripada keputusan kewangan paling penting anda perlu dibuat bagi menempuh alam persaraan.

Ini kerana keputusan yang diambil anda sekarang akan mempengaruhi hasil pulangan, keselamatan dan perbelanjaan yang mampu dibuat apabila bersara kelak.

Jadi bagaimana untuk kita memilih penyedia PRS yang sesuai? Sebelum anda membuat keputusan, di sini terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan.

1. PENGENALAN

SEBELUM membuka akaun PRS anda perlu menilai faktor usia, pendapatan individu serta isi rumah, keinginan, matlamat, pelaburan dan keperluan semasa bersara.

Ketahui matlamat anda apabila bersara kelak dan ke mana wang akan dibelanjakan.

Oleh kerana keperluan kehidupan akan berubah-ubah, anda perlu memilih pengurus PRS yang menawarkan skim yang bersesuaian dan boleh ditukar dengan mudah pada bila-bila masa.

PRS juga memberikan anda pilihan untuk memilih skim dari PRS lain jika anda berminat. Oleh itu, anda perlu sentiasa menyemak skim yang ada di pasaran sekerap mungkin bagi memperoleh skim yang menarik.

2. PRESTASI LAMPAU

Pulangan terbesar kepada dana persaraan anda adalah bergantung kepada prestasi dana yang telah dilaburkan. Memandangkan PRS masih baharu maka tiada petunjuk prestasi yang boleh dijadikan rujukan ketika ini.

Oleh itu, memilih pengurus dana yang telah terbukti kejayaannya dalam pengurusan dana lain adalah cara terbaik. Memandangkan PRS adalah pelaburan jangka panjang, anda perlu menilai prestasi pengurus dana ketika mereka berdepan situasi sukar dan senang.

Menilai situasi sukar adalah cara terbaik kerana daripada situasi berkenaan anda boleh menilai kekuatan dan kekukuhan pengurus dana berkenaan. Ketika situasi sukar, kerugian akan berbeza-beza dan anda perlu menilai pengurus mana yang menawarkan kerugian yang minimum ketika berdepan situasi berkenaan.

3. YURAN DAN CAJ

Pertimbangkan pelbagai yuran dan caj yang dikenakan penyedia PRS sebelum melabur. Caj jualan yang tinggi bakal mengurangkan jumlah pelaburan tetapi ini tidak bermaksud caj yang murah adalah yang terbaik.

Pilih yang menawarkan caj dan yuran yang berbaloi dengan perkhidmatan.

Yuran dan caj termasuklah caj jualan, pengurusan tahunan, yuran pemegang amanah tahunan, yuran menukar, memindah dan menebus. Ini boleh disemak menerusi Dokumen Pendedahan Produk dan Lampiran Penting Produk yang akan disediakan penyedia PRS.

Anda perlu menyemak terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

4. KEPAKARAN DAN KEUPAYAAN

PELABURAN

Sentiasa ada risiko dalam pelaburan. Oleh itu, perlu mempertimbangkan pelaburan yang mampu memberi pulangan yang optimum dalam persekitaran risiko yang terkawal tetapi bagaimana pelabur hendak mengetahuinya?

Pelabur perlu mengkaji latar belakang penyedia PRS dan lihat prestasi mereka menguruskan dana lain seperti kepakaran pasukan pengurusan, anugerah yang pernah dimiliki, serta konsisten untuk jangka masa panjang.

Pilih penyedia PRS yang mempunyai reputasi tinggi. Risiko adalah sesuatu yang sukar dijangka tetapi boleh mengurangkannya kerana setiap penyedia PRS mempunyai kakitangan yang pakar.

Terdapat pelbagai sumber untuk anda mencari maklumat mengenai penyedia PRS, skim yang ditawarkan, promosi dan risalah yang dikeluarkan Pentadbir Pencen Swasta (PPA). Cara alternatif, pelabur juga boleh melantik perancang kewangan untuk membantu memahami pilihan yang ada di pasaran.

- UTUSAN


Senin, 28 Januari 2013

Asteroid mendekati bumi pada Februari 2013



 Sebuah asteroid dikatakan bakal mendekati bumi pada pertengahan Februari ini.

Asteroid dianggarkan bersaiz kecil itu dikenali sebagai 2012DA14 dijangka mendekati Bumi pada 15 Februari ini.

Ahli Astronomi berpendapat asteroid itu akan berada dalam orbit bulan sekitar 38,6243 kilometer (km) dan dalam orbit satelit Geosynchronous sejauh 418,429 km.

Asteroid 2012 DA14 mendekat pada jarak 35,000 km dari bumi. Perhitungan astronomi dari orbit asteroid dapat dipercayai berdasarkan rekod kejayaan puluhan tahun ketika Neil Amstrong menjadi manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan 20 Julai 1969.

Tetapi apa yang akan berlaku ketika 2012DA14 mendekati bumi? Jawapannya adalah ‘mungkin tidak terjadi apa-apa’.

Kebanyakan orang tidak akan melihat atau menyedarinya kerana kehadiran asteroid tersebut tidak mengubah pusingan pasang surut air laut, ia juga  tidak menyebabkan gunung berapi.

Ketika kehadiran asteroid itu, pakar astrologi akan mengukur jarak tepat kedudukan bintang dan bulan dengan teleskop mikro.

Andainya asteroid  itu bersaiz 46 meter dan memintas bumi, ia masih tidak boleh menghancurkan bumi, tetapi kejadian itu akan meninggalkan kesan seperti kawah di kawasan ia mendarat. 

Peristiwa itu pernah terjadi pada 1908 di daerah terpencil di Rusia, di mana satu ledakan asteroid telah meratakan sebuah kawasan di situ hingga membentuk sebuah kawah dan melenyapkan pokok dan haiwan yang terdapat di situ.

Mungkin sekiranya 2012 DA14 mendarat ke bumi kejadian sama dijangka berlaku. Ahli astrologi juga mengharapkan asteroid itu mendarat di laut dan bukannya di kawasan pembangunan kerana dikhuatiri binaan akan musnah sama seperti pokok dan haiwan yang lenyap
ketika kejadian di Rusia.

Ahli astronomi di Observatorio Astronomico de La Sagra di Spanyol menemui 2012 DA14 pada awal 2012. Ia menyerupai bumi dan pusingan orbitnya juga menyamai pergerakan bumi iaitu mengelilingi matahari.

Pastinya, Asteroid 2012 DA14 akan menghampiri bumi pada 15 Februari 2013. perkara ini bakal mendapat perhatian orang ramai. - Earthsky.org

Apa itu asteroid?

Asteroid ialah planet minor atau planetoid. Ia berukuran lebih kecil daripada planet, tetapi lebih besar daripada meteoroid dan selalu berada dalam orbit planet Neptunus. Asteroid berbeza dengan komet dari struktur visualnya. Komet mempunyai 'ekor' sementara asteroid hanya berbentuk seperti ketulan batu.

- SINAR HARIAN

Baucar Buku 1Malaysia BB1M 2013 sebanyak RM250 seorang pelajar mula diagihkan

Penyerahan cek Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM325 juta yang memanfaatkan 1.3 juta pelajar, menyerikan Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) di Padang Varsiti, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Baucer buku itu diserahkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada wakil institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan, Politeknik dan Universiti Malaya (UM) selaku tuan rumah.
Daripada jumlah itu, RM134.2 juta untuk pelajar IPTA, RM107.5 juta (IPTS), RM23.6 juta (Politeknik) dan RM6.3 juta (UM) dengan setiap pelajar menerima RM250.

Baucar meningkat RM50

Mohamed Khaled berkata, kadar baucar berkenaan meningkat RM50, berbanding RM200 tahun lalu, antaranya selepas mengambil kira peningkatan harga buku di pasaran.

“Kita harap pelajar akan memanfaatkan baucar ini untuk membeli buku berkualiti,” katanya pada sidang media selepas melancarkan karnival ‘KPTN Jom Masuk U’ di sini, semalam.

BB1M turut memanfaatkan penuntut Pusat Matrikulasi dan pelajar Tingkatan Enam.

Tarikh masuk IPTA

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kementerian memutuskan tarikh kemasukan ke IPTA bagi sesi 2013/2014 bagi program ijazah pertama adalah pada 1 dan 2 September ini membabitkan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setarafnya.

Katanya, bagi program diploma untuk lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesi kemasukan adalah pada 2 Jun, manakala program Asasi pada 26 Mei ini.

“Pada tahun ini, sejumlah 160,000 tempat disediakan untuk kemasukan ke IPTA serta institusi latihan dan kemahiran dan ia tidak termasuk 130,000 peluang kemasukan ke IPTS,” katanya.

- BERITA HARIAN